Parti baru anti-Brexit ditubuhkan di Britain


Pembantah Brexit membuat demonstrasi menuntut Britain kembali semula ke dalam Kesatuan Eropah.– Gambar AFP, 19 Februari, 2018.

PARTI politik haluan tengah anti-Brexit hari ini mengadakan majlis pelancaran rasmi di London, sebagai salah satu usaha oleh golongan pro-Kesatuan Eropah (EU) untuk menukar sikap rakyat Britain.

“Kami mahu patah balik dari Brexit dan meletakkan kembali pengaruh kami di Eropah, sekali gus memberikan kami tumpuan terhadap perkara yang penting di UK (United Kingdom),” kata parti itu yang digelar Renew, dalam kenyataannya melalui laman web sebelum majlis pelancaran rasmi di tengah London.

Parti baharu itu berkata, mereka sudah mempunyai lebih 300 calon yang telah bersiap sedia untuk bertanding dalam pilihan raya, selain mensasarkan untuk merekrut sejumlah 650 orang untuk setiap kawasan di negara itu.

Parti itu ditubuhkan oleh bekas pakar kewangan Chris Coghlan sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

Coghlan ketika itu bertanding di bawah tiket bebas dalam pilihan raya itu, menggunakan platform anti-Brexit selain mendapat tempat keempat dengan undi 1,234 di Battersea di selatan London.

Pilihan raya umum seterusnya dijangka akan diadakan pada 2022, namun ramai pemerhati percaya ianya akan diadakan lebih awal kerana terdapat pelbagai masalah dalam kepimpinan Perdana Menteri Theresa May dan perbalahan dalam Parti Konservatif.

Beberapa kempen muncul dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan menyeru mengadakan semula pilihan untuk referendum keahlian EU selain menekan beberapa ahli Parlimen yang menentang perjanjian Brexit.

Salah satu kempen itu, Best for Britain, menggamit rakyat dengan jumlah derma besar dari jutawan super selain seokongan kumpulan pemuda “Our Future, Our Choice.” – AFP, 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen