Husni hanya ikut arahan ketika tandatangani dokumen 1MDB, mahkamah diberitahu


Raevathi Supramaniam

Ahmad Husni Hanadzlah berkata semua dokumen berkaitan 1MDB dan SRC International sudah melalui Najib Razak, menteri kewangan ketika itu sebelum ia sampai di mejanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2022.

BEKAS menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau menandatangani dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau hanya mengikut arahan.

Husni berkata semua dokumen berkaitan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International sudah melalui Najib Razak, menteri kewangan ketika itu sebelum ia sampai di mejanya.

“1MDB dan SRC tidak mengikut prosedur biasa.

“Semua urusan 1MDB dan SRC International akan diuruskan oleh menteri kewangan (Najib) kemudian ia diserahkan kepada pegawai kemudian ia sampai di meja saya,” kata Husni memberitahu mahkamah hari ini ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib Shafee Abdullah.

Ketika Shafee bertanya mengapa beliau menandatanganinya Husni berkata beliau “menurut perintah” atau mengikut arahan.

“Saya terpaksa, ‘saya yang menurut perintah’. Ia datang dari menteri kewangan, anda mesti faham projek projek ini tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) seperti syarikat lain di bawah MoF Inc (Menteri Kewangan Diperbadankan).

“Semuanya datang dari atas,” kata Husni.

Shafee kemudian bertanya sama ada Husni menerima arahan jelas untuk menandatangani dokumen tersebut.

Husni menjawab bahawa beliau tidak menerima arahan sedemikian.

“Tiada arahan bertulis. Saya beritahu dia (Najib) dari awal dia tidak patut memulakan 1MDB tetapi dia tidak mendengar. Jadi saya tahu dia mempunyai kuasa. Saya mengenalinya dengan baik selama 40 tahun, itu naluri saya,” tambahnya.

Husni, 70, adalah saksi ke-20 pihak pendakwaan dan memegang jawatan menteri kewangan II dari April 2009 sehingga peletakan jawatannya pada Jun 2016.

Beliau sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau diberitahu oleh Najib supaya tidak terlibat dalam hal berkaitan 1MDB dan SRC. 

Husni berkata beliau bertemu dengan Najib pada pertengahan 2009 di Pejabat Perdana Menteri untuk menyuarakan kebimbangannya mengenai penubuhan 1MDB. Firma pelaburan negeri itu ditubuhkan melalui pengambilalihan Kerajaan Persekutuan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) milik kerajaan negeri Terengganu dan dinamakan semula kepada 1MDB.

Husni berkata beliau sudah memberitahu Najib bahawa 1MDB tidak seharusnya ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan.

Semasa perbicaraan SRC Husni juga menyamakan dirinya seperti budak pejabat dalam hal berkaitan dana kekayaan negara.

Najib didapati bersalah atas pertuduhan rasuah membabitkan SRC International oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau kini sedang merayu sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan. – 22 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen