FELDA akan menyerahkan segala dokumen berkaitan proses pindahmilik tanahnya di Jalan Semarak kepada pihak berkuasa tanah untuk melengkapkan penukaran hak milik asetnya itu yang sebelum ini ditukarkan kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), kata pengerusinya Shahrir Samad.
Menurut Shahrir, semua dokumen itu termasuk Borang 14A bagi tujuan penukaran hak milik tanah sudah siap dan akan didaftarkan dalam masa yang terdekat di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Borang 14A dan semua dokumen berkaitan pemindahan nama sudah ditandatangan dan hanya tinggal nak hantar. Tunggulah, semua akan selesai dan ia akan balik kepada Felda,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.
Shahrir bagaimanapun enggan mendedahkan bila dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pejabat tanah berkenaan.
“Geran saya pegang, Felda pegang. Surat untuk tukar hak milik bersama Felda, tinggal nak daftar. Pasal ada kaveat (belum boleh daftar) takkan ada kaveat boleh pindah milik.
“Orang kata silap mata, orang tak percaya. Memang senang. Kita kerajaan. Nak dengan tak nak sahaja. Kita bukan orang perseorangan. Kuasa kerajaan ada bersama kita. Benda tu bukan kita setuju,” katanya.
Kontroversi membabitkan tanah Felda itu tercetus selepas laporan media mendedahkan agensi berkenaan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak yang sudah ditukar hak milik kepada Synergy Promenade, syarikat yang diberi tanggungjawab membangunkan projek hartanah di tanah berkenaan.
Selepas hampir sebulan pendedahan media itu dan kritikan pelbagai pihak terhadap Felda, SPSB pada 15 Januari menandatangan perjanjian persefahaman dengan Felda bersetuju untuk menyerahkan semula tanah berkenaan untuk didaftarkan semula atas nama agensi itu.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Shahrir sekali lagi menegaskan tanah di Jalan Semarak itu masih milik Felda dan SPSB hanya diberi kuasa membangunkannya setelah rundingan semula syarat-syarat memajukan tanah tersebut.
“(Felda) akan daftar balik tanah itu kepada nama kita. Benda yang normal. Apa benda yang nak kata magik sangat.
“Dalam pembangunan tanah keadaan normal yang biasa tanah tetap pada tuan milik tanah, pemaju cuma cari kewangan pembiayaan,” katanya.
Pindah milik yang diragui itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik SPSB sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh oleh Felda bagi membangunkannya.
Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari 2018 untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan.
Susulan itu, Perdana Menteri Najib Razak bersetuju untuk ditubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit itu.
Sebuah jawatankuasa perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian di antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).
Jawatankuasa itu disertai Yusof Ismail, Nik Azman Nik Abdul Majid, Ab Ghani Mohd Ali, Zainal Abidin Abu Hassan dan Ahmad Husni Hussain.
Shahrir berkata, bangunan itu juga belum dijual dan sehingga kini pembangunannya hanya berada di peringkat besmen.
“Belum jual lagi… kita tidak ambil hak milik strata. Tanah juga tidak dicagar. Sebab itu kita nak ambil balik tanah.
“Sepatutnya orang tepuk tangan sokong saya tapi sebaliknya. Itu tak betul,” tegas Shahrir. – 20 Februari, 2018.
Komen