Pendakwaan gagal buktikan masa sebenar pembunuhan Nazrin, kata Shafee


Alfian Z.M. Tahir

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan keempat-empat suskpek kes bunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan berada di tempat kejadian semasa pembunuhan yang didakwa berlaku pada Jun 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Jun, 2022.

PIHAK pendakwaan gagal menentukan waktu sebenar pembunuhan Nazrin Hassan, sekali gus membawa kepada pembebasan balunya Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada tuduhan membunuh ketua pegawai eksekutif Cradle Fund itu, kata peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Menyentuh keputusan yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Ab Karim Ab Rahman pagi tadi, Shafee berkata masa yang dinyatakan oleh pendakwaan tidak selari dengan penemuan pakar perunding perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng.

Dalam laporan bedah siasat oleh Dr Siew menyebut Nazrin didapati meninggal dunia antara 11 malam pada 13 Jun 2018 dan 1 pagi 14 Jun 2018.

Pihak pendakwaan pula menyimpulkan kejadian bunuh berlaku antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4.30 pagi esoknya, kata Shafee.

“Yang Arif Ab Karim membuat keputusan bahawa dalam kes ini tidak ada keterangan mencukupi yang membuktikan seperti dalam kertas pertuduhan. 

“Masa pembunuhan didakwa berlaku menurut laporan Dr Siew luar dari jangka masa yang dipilih oleh pendakwaan. Terlalu banyak benda tidak menentu,” katanya kepada pemberita selepas mahkamah selesai bersidang.

Shafee menambah, hakim juga memutuskan tiada bukti menunjukkan ketiga-tiga tertuduh dan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang masih bebas berada bersama mangsa ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

“Ada empat suspek, termasuk pembantu rumah yang masih bebas. Merujuk masa pembunuhan dinyatakan saksi, mereka tidak boleh ditempatkan pada masa itu,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh suaminya Nazrin pada Jun 2018.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mereka didakwa secara bersama melakukan jenayah bunuh pada 14 Jun 2018 di sebuah rumah dua tingkat di Mutiara Damansara, Selangor, dan kemudian dituduh cuba menyembunyikannya sebagai satu kejadian kebakaran.

Mereka juga didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, yang ketika itu pembantu rumah.

Smentara itu, abang Nazrin, Dr Aziz Hassan berharap pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan.

Aziz berkata mereka sekeluarga bukan mahu membalas dendam tetapi mahukan keadilan atas kematian adiknya.

“Demi Nazrin dan demi keadilan, kami berharap pihak pendakwaan akan merayu terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“InsyaAllah kebenaran pasti akan terbukti. Tiada balas dendam, kami reda dengan kematian Nazrin tetapi kami ingin tahu siapa yang sebabkan dia mati.

“Kami hanya mahukan kebenaran, sebab itulah kami berharap mereka akan merayu. Jika tidak, kami akan mohon inkues untuk menyiasat punca kematian Nazrin,” katanya kepada pemberita. – 21 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen