Bahan mentah naik harga punca kos pengebumian mahal, kata pengusaha


Khoo Gek San

Harga keranda pada masa ini naik tiga kali ganda, dengan kenaikan harga terbaru pada Jun berikutan kekurangan kayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

KOS pengebumian masyarakat Cina akan lebih mahal tidak lama lagi kerana harga bahan mentah terus meningkat, kata pemain industri.

Mereka berkata ia termasuklah keranda, kayu colok, kertas dan batu nisan, yang dijangka naik antara 10% hingga 25% berikutan peningkatan bahan mentah.

Harga keranda pada masa ini naik tiga kali ganda, dengan kenaikan harga terbaru pada Jun berikutan kekurangan kayu.

Pengarah Aim Strong Industries Sdn Bhd Lim Sze Yan memberitahu The Malaysian Insight yang harga kayu import meningkat 20% hingga 30% manakala kayu tempatan meningkat 20% hingga 40%.

Lim berkata harga cat yang digunakan untuk keranda juga naik 70%.

“Ini tidak berlaku sebelum pandemik. Harga bahan mentah biasanya konsisten tetapi kini naik setiap dua bulan.”

Harga bahan mentah mula meningkat tahun lepas walaupun pengeluar hanya mula menyesuaikan harga mulai Januari. 

Bagaimanapun menjelang Jun, Lim berkata harga naik tiga kali ganda, antara 10% hingga 25%.

Lim berkata kenaikan harga tidak terhad melibatkan bahan mentah sahaja kerana pengilang perlu menyesuaikan harga susulan kenaikan gaji minimum dan kejatuhan nilai ringgit.

Beliau berkata pengilang tidak dapat memenuhi permintaan kerana kekurangan tenaga buruh asing.

“Kami menangguhkan banyak pesanan luar negara bagi memenuhi permintaan dalam negeri terlebih dahulu. Sebelum pandemik, kilang pemprosesan saya boleh mengeluarkan 1,500 hingga 1,600 keranda sebulan, tetapi kini ia hanya boleh mengeluarkan 1,000 keranda sebulan kerana kekurangan pekerja,” katanya.

“Pada masa ini, pekerja asing di kilang pemprosesan saya kembali ke China seorang demi seorang setiap bulan, dan tiada pekerja baharu menggantikan mereka. Jadi, pengeluaran secara semula jadi turut berkurangan dan kami tidak boleh menerima tempahan baharu dari luar negara.” – 21 Jun, 2022.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen