Pelarian bukan Pati, wajar dilindungi, kata Khaled Nordin


Ravin Palanisamy

WALAUPUN tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk melindungi dan menjamin keselamatan pelarian di negara ini, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Bersempena Hari Pelarian Sedunia hari ini, beliau berkata pelarian berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebebasan untuk bergerak dengan selamat, yang menurutnya hak asasi kepada semua manusia.

“Atas dasar itu, Malaysia wajar mengambil tanggungjawab moral untuk memastikan mereka dilayan dengan penuh maruah dan peri kemanusiaan. 

“Kita adalah sebuah negara Islam. Agama suci ini mengajar kita melakukan kebaikan kepada sesama manusia tanpa mengira status dan asal usul. Apatah lagi kepada kanak-kanak dan wanita yang dizalimi. 

“Sempena Hari Pelarian Sedunia ini, saya menyeru kerajaan Malaysia mengambil langkah berprinsip dan manusiawi, sesuai kedudukan kita sebagai sebuah negara Islam yang dicontohi untuk mengiktiraf hak-hak yang asasi kepada pelarian di negara kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambah bekas menteri besar Johor itu ketika ini hampir 100 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia, kebanyakannya mangsa konflik bersenjata dan peperangan.

Malaysia katanya, telah lama membuktikan prinsip kemanusiaan dan nilai insani dalam pelbagai tindakan dan dasarnya sebelum ini, yang memberi perlindungan serta menjamin keselamatan mangsa konflik.

“Pelarian bukan pendatang tanpa izin. Mereka adalah mangsa keadaan.

“Mereka terpaksa melarikan diri ke negara kita kerana ingin mencari tempat yang selamat dan berlindung sebelum ditempatkan di negara penerima bagi memulakan kehidupan baharu.

“Mereka adalah golongan yang terpaksa meninggalkan tanah air dan keluarga sendiri tanpa pilihan dan kerelaan,” jelas Khaled.

Malah, kebanyakan pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia adalah orang Islam dari Syria, Myanmar, Iraq dan Afghanistan, tambahnya. – 20 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen