Permintaan NGV merosot dengan subsidi bersasar, kata pengusaha stesen minyak


Ravin Palanisamy

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz berkata pemain industri tidak menjangkakan banyak perubahan kepada keadaan semasa, jika kerajaan bercadang untuk merasionalkan semua bentuk subsidi bahan api itu atau memilih untuk mengekalkan subsidi menyeluruh semasa. – Gambar EPA, 20 Jun, 2022.

GAS asli untuk kenderaan (NGV), hanya akan mempunyai pasaran jika terdapat perbezaan ketara dalam harganya berbanding bahan api lain sekiranya kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, kata Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz.

Dengan permintaan merosot NGV sejak beberapa tahun lalu, Khairul Annuar berkata pemain industri tidak menjangkakan banyak perubahan kepada keadaan semasa, jika kerajaan bercadang untuk merasionalkan semua bentuk subsidi bahan api itu atau memilih untuk mengekalkan subsidi menyeluruh semasa.

“Jika mereka (kerajaan) merasionalkan semua subsidi atau memberi subsidi menyeluruh, maka permintaan (gas asli) tidak akan setinggi itu.

“Tetapi jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan subsidi bersasar tetapi mengekalkan harga gas asli pada kadar semasa, maka permintaan berpotensi meningkat.

“Kerana pada kemudian hari, semuanya akan bergantung pada pembezaan harga. Selagi terdapat perbezaan besar dalam harga bahan api, maka permintaan mungkin meningkat,” kata Khairul Annuar kepada The Malaysian Insight.

Khairul Annuar mengulas selepas beliau ditanya sama ada pelan subsidi bersasar kerajaan akan menyaksikan lonjakan dalam kenderaan dipasang dengan kit gas asli, menjadikannya kenderaan (NGV).

Bulan lalu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sedang merancang mekanisme subsidi bahan api yang disasarkan, sambil menambah ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata langkah itu adalah untuk melindungi negara daripada kesan kenaikan harga minyak mentah.

“Mereka yang mempunyai BMW tidak boleh menikmati subsidi yang sama seperti mereka yang memandu Kancil,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dengan Petronas sebagai satu-satunya pembekal gas asli di Malaysia, Khairul Annuar menjelaskan syarikat minyak negara juga rugi menjualnya.

“Gas asli itu sendiri mendapat subsidi yang besar. Petronas menjualnya dengan tidak mengambil sebarang untung,” katanya.

Pada 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan memberi subsidi sehingga RM200 juta setiap tahun untuk NGV.

Beliau berkata Petronas mengalami kerugian RM100-200 juta setahun dalam pemberian subsidi.

NGV diperkenalkan pada 1998 di Lembah Klang.

Pada 2020, dilaporkan terdapat kira-kira 77,000 unit kenderaan berbahan api gas asli di negara ini.

Laporan itu mendedahkan terdapat kira-kira 103 stesen NGV beroperasi pada 2016, turun hampir 40% daripada 178 pada 2015.

Semakan Petronas mendapati terdapat 74 stesen kini dilengkapi dengan pam NGV, dengan kebanyakannya berada di Lembah Klang.

Gas asli kini berharga 68 sen seliter. – 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen