EMPAT lelaki Indonesia telah ditahan kerana membunuh orang utan dengan menembaknya sebanyak 130 kali menggunakan senapang angin, kata polis.
Pembunuhan ini adalah kejadian terbaharu terhadap spesis terancam itu.
Menurut pihak berkuasa, suspek yang merupakan petani dari Borneo itu mengaku membunuh orang utan dengan berkata yang binatang itu telah menghancurkan tanaman nenas dan ladang kelapa sawit mereka.
“Mereka berniat nak halau (orang utan itu) tetapi tindakan mereka itu sebaliknya membunuh orang utan,” kata ketua polis wilayan Kutai Timur Teddy Ristiawan kepada AFP.
Suspek yang ditahan minggu lalu akan dikenakan tuduhan membunuh binatang terancam dan akan dikenakan penjara lima tahun selain denda maksimum sebanyak AS$7,400 (RM28,814.12).
Ristiawan berkata, suspek kelima, yakni seorang kanak-kanak berusia 13 tahun turut ditahan namun dibebaskan kerana masih di bawah umur.
Pembunuhan kejam itu muncul seminggu selepas polis Borneo menahan dua pekerja ladang getah dan mendakwa mereka menembak orang utan beberapa kali sebelum memenggal kepala binatang itu.
Tubuh tidak berkepala orang utan itu dijumpai terapung di sungai berhampiran Malaysia.
Orang Utan Borneo dan Sumatera disenaraikan sebagai spesis terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Menurut IUCN, populasi orang utan Sumatera dijangka kurang 15,000 manakala dianggarkan sekitar 54,000 orang utan hidup di Borneo.
Populasi orang utan di Borneo turun mendadak lebih setengah sejak 1999. Hampir 150,000 binatang itu telah mati atau hilang jejak dalam tempoh itu.
Menurut jurnal Current Biology yang diterbitkan minggu lalu, kehilangan atau kepupusan orang utan itu diakibatkan pembangunan seperti aktiviti pembalakan, pembukaan ladang kelapa sawit dan perlombongan.
Sudah dikenali pekerja ladang dan penduduk kampung kadang kala menyerang binatang itu yang dianggap mereka sebagai “penyibuk,” sementara pemburu haram menangkap orang utan untuk dijual. – AFP, 19 Februari, 2018.
Komen