PENYANDANG Parti Popular (PP) dijangka menang selesa pada pilihan raya wilayah Andalusia sekali gus memberi tamparan kepada Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menjelang undian peringkat nasional yang dijangka penghujung 2023.
Lebih enam juta orang layak mengundi di wilayah paling ramai penduduk di Sepanyol di mana suhu terik dijangka menyejuk sedikit selepas seminggu panas melampau yang dikhuatiri akan menjejaskan kehadiran pengundi.
Pusat mengundi dibuka pada 9.00 pagi (waktu tempatan) dan akan ditutup pada 8:00 malam, dengan keputusan akan diumumkan beberapa jam kemudian.
Tinjauan mendapati PP akan memenangi sekitar 50 kerusi di Parlimen Andalusia daripada 109 kerusi dipertandingkan, lebih banyak daripada gabungan semua parti berhaluan kiri.
Parti itu mentadbir wilayah selatan yang terkenal dengan perkampungan berdinding putih dan pusat peranginan popular Costa del Sol sejak 2018 dalam gabungan bersama parti kecil berhaluan kanan Ciudadanos.
Sosialis diramal memenangi sekitar 33 kerusi, jumlah yang sama seperti pilihan raya lalu pada 2018 apabila mereka disingkirkan di Andalusia buat kali pertama sejak kerajaan wilayah itu ditubuhkan pada 1982.
Skandal berhubung penyalahgunaan dana awam yang bertujuan memerangi pengangguran disalah guna kerana parti itu memusnahkan kubu kuatnya yang lama menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 8.5 juta orang.
“Semua kemajuan sosial yang berlaku di Andalusia dan di Sepanyol dimulakan parti Sosialis. Tidak sekali-kali oleh parti berhaluan kanan,” kata Sanchez pada perhimpunan terakhir kempen Jumaat di Seville, ibu kota wilayah itu.
Walaupun PP kelihatan bersedia untuk memenangi pilihan raya hari ini, namun tidak jelas sama ada ia akan memperoleh majoriti mudah yang membolehkannya mentadbir secara bersendirian.
Jika tidak, PP berkemungkinan perlu mendapatkan sokongan daripada parti Vox dengan membawanya ke dalam kerajaan wilayah, seperti yang berlaku awal tahun ini di wilayah utara Castilla y Leon.
Sehingga kini, Vox menyokong PP di Andalusia tetapi dari luar kerajaan. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen