KUMPULAN militan Isis mengaku bertanggungjawab berhubung serangan ke atas kuil Sikh di Afghanistan yang mengorbankan seorang anggota masyarakat dan seorang pejuang Taliban, dengan berkata ia tindakan balas terhadap penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Protes di beberapa negara Islam dicetuskan oleh seorang jurucakap parti Perdana Menteri India Narendra Modi awal bulan ini mengenai Nabi Muhammad.
Dalam mesej yang disiarkan di laman propaganda Amaq, Isis berkata serangan pada Sabtu menyasarkan penganut Hindu dan Sikh dan pihak yang melindungi mereka.
Isis berkata seorang ahlinya berjaya membolosi kuil penganut Hindu dan Sikh di Kabul, selepas membunuh pengawalnya, dan melepaskan tembakan ke arah penganut lain dengan senapang dan bom tangan.
Dua terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh lagi cedera dalam serbuan itu.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Abdul Nafi Takor berkata penyerang melontar sekurang-kurangnya satu bom tangan ketika memasuki kuil, menyebabkan kebakaran.
Serangan itu susulan lawatan delegasi India ke Kabul untuk membincangkan pengagihan bantuan kemanusiaan dari India ke Afghanistan.
Laporan media Afghanistan dan India berkata delegasi itu berbincang dengan pegawai Taliban mengenai kemungkinan membuka semula kedutaan India, yang ditutup selepas rampasan kuasa pada Ogos tahun lalu.
Jumlah pengeboman di seluruh Afghanistan menurun sejak Taliban kembali berkuasa, tetapi beberapa serangan—kebanyakannya menyasarkan komuniti minoriti—menggegarkan negara itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk beberapa serangan yang didakwa dilakukan Isis.
Bilangan penganut Sikh yang tinggal di Afghanistan berkurangan kepada sekitar 200 orang, berbanding kira-kira setengah juta pada tahun 1970-an.
Kebanyakan mereka yang tinggal adalah peniaga yang terlibat dalam penjualan ubat-ubatan herba dan barangan elektronik yang dibawa dari India.
Beberapa bulan kebelakangan ini, ramai penganut Sikh yang miskin termasuk wanita dan kanak-kanak berlindung di kompleks yang diserang pada Sabtu.
Komuniti itu menghadapi serangan berulang selama bertahun-tahun. Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh pada Mac 2020 apabila lelaki bersenjata menyerbu sebuah lagi kuil Sikh di Kabul dalam serangan yang turut didakwa dilakukan Isis. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen