Pelakon lelaki direman 3 hari kes pukul pengawal keselamatan


SEORANG pelakon lelaki popular direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Habibi Majinji berkata pelakon berusia 30-an itu ditahan tengah hari tadi di kediamannya di kondominium sama.

“Kejadian berpunca apabila mangsa meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira jam 8 malam namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium itu, mangsa kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan mengenai perkara itu dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.

“Artis lelaki berkenaan yang turut berada di lobi itu kemudian secara tiba-tiba datang dan dipercayai menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata mangsa dikatakan ditumbuk dan ditendang di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan dan suspek disyaki turut mengugut mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis pagi semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul dan melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Bernama, 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen