Abang Johari pertahan penekanan berterusan Sarawak terhadap Bahasa Inggeris


Desmond Davidson

Abang Johari Openg merujuk kepada Perkara 161 (3) perlembagaan persekutuan bagi mempertahankan keputusan negeri itu menggunakan Bahasa Inggeris. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg hari ini bertegas mempertahankan penggunaan Bahasa Inggeris yang berterusan di negeri itu sebagai bahasa komunikasi dalam perniagaan rasmi di samping bahasa Malaysia susulan kritikan daripada kumpulan hak bahasa Melayu.

Beliau berkata, walaupun Sarawak menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, negeri itu pada masa sama terus mengekalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua dan bahasa komunikasi atas dua sebab – keperluan praktikal dan hak perlembagaan negeri dalam perlembagaan persekutuan.

Abang Johari merujuk kepada Perkara 161 perlembagaan persekutuan.

Sambil menunjukkan salinan perlembagaan, beliau khususnya merujuk kepada Perkara 161 (3) yang katanya menjamin hak Sarawak untuk terus menggunakan bahasa Inggeris.

Perkara 161 (3) menyatakan: “... tiada Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal itu boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui enakmen Badan-Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak; dan tiada Akta sedemikian boleh mula berkuatkuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam perenggan (b) atau (c) Fasal (2), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui suatu enakmen Badan Perundangan Negeri itu.”

Itu, katanya, “maksudnya kita masih boleh menggunakan bahasa Inggeris”.

Premier Sarawak itu juga berkata, negeri itu hanya praktikal dalam meneruskan penggunaan bahasa Inggeris kerana ia memulakan transformasi ekonominya sekarang kepada ekonomi digital.

“Banyak istilah (teknikal) ekonomi digital dalam bahasa Inggeris yang sukar untuk diterjemahkan. Untuk menjadi praktikal tidak bermakna kita menentang dasar negara.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memulakan kempen untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai ‘lingua franca’ dalam kalangan negara Asean.

Malah beliau juga mencadangkan pindaan Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan membabitkan penggunaan bahasa itu.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali malah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan langkah hukuman bagi menguatkuasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam perkhidmatan awam termasuk menggunakannya dalam persidangan di luar negara.

Sarawak menolak cadangan Zuki itu dan memberi jaminan kepada penjawat awam di negeri itu bebas menggunakan bahasa Inggeris tanpa rasa takut dikenakan tindakan. – 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen