SEORANG tentera Congo terbunuh dan dua anggota polis Rwanda cedera pada Jumaat dalam kejadian tembak di sempadan negara mereka, menurut sumber keselamatan.
Kejadian itu turut menyebabkan orang awam cedera.
Insiden itu berlaku di sebuah pos sempadan di bandar Goma di timur Congo, meningkatkan ketegangan antara dua negara dengan sejarah hubungan yang tegang sejak beberapa dekad.
“Seorang tentera Congo meluru ke hadapan, melepaskan tembakan ke arah sempadan Rwanda,” kata seorang anggota polis Congo kepada AFP.
“Seorang tentera Rwanda melepaskan tembakan dan dia mati di tempat kejadian. Kemudian berlaku balas tembakan antara kami dan pasukan keselamatan Rwanda.
“Beberapa orang awam yang menunggu untuk menyeberangi sempadan turut cedera.”
Tentera Rwanda mengesahkan kejadian itu, di wilayah Kivu Utara, berkata di Twitter bahawa “tentera Congo yang tidak dikenali menembak ke arah orang yang lalu-lalang yang melintasi sempadan”.
“Dia mencederakan dua anggota polis (Rwanda)... dan kemudian ditembak sebagai balasan,” katanya.
Tentera Congo itu, yang membawa senapang serangan AK-47, ditembak 25 meter (27 ela) di dalam wilayah Rwanda, kata tentera.
Menteri Luar Rwanda Vincent Biruta berkata beliau menganggap peristiwa itu sebagai “sekadar insiden” dan siasatan akan dijalankan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Congo.
“Kita perlu bertindak bersama-sama untuk meredakan keseluruhan keadaan,” katanya kepada France 24. – AFP, 18 Jun, 2022.
Komen