Umno punyai purata ahli Parlimen paling lama berkhidmat


Chan Kok Leong

Umno yang merupakan parti politik tertua di negara ini, mereka mempunyai ahli Parlimen paling lama berkhidmat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

WALAUPUN Parlimen mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai buat pertama kalinya, tidak hairanlah jika Umno sebagai parti politik tertua di negara ini, mempunyai ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Parti nasionalis Melayu itu mempunyai purata 3.43 penggal bagi setiap ahli Parlimen, manakala pesaingnya, PAS yang ditubuhkan pada 1951, mempunyai purata perkhidmatan terpendek iaitu 1.64 penggal bagi setiap ahli Parlimen.

Pengecualian dalam PAS ialah presiden Abdul Hadi Awang yang kini merupakan utusan khas Malaysia ke Timur Tengah, yang sedang berkhidmat bagi penggal keenam di Marang.

Parti Islam itu juga mempunyai seorang ahli Parlimen tiga penggal iaitu Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff, yang merupakan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Mereka yang berkhidmat hanya satu penggal lebih pendek daripada beliau ialah ahli Parlimen dua penggal Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa), Nik Mohamed Abduh Nik Aziz (Bachok) dan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun).

Baki 11 ahli Parlimen PAS semuanya berkhidmat dalam penggal pertama mereka.

Dalam Umno, mengetuai senarai ahli Parlimen paling lama berkhidmat ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang berusia 85 tahun yang mewakili Gua Musang sejak 1974 selama 11 penggal atau 48 tahun.

Ini diikuti bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dalam penggal kesembilan di Pekan.

Pemimpin berusia 68 tahun itu pertama kali menduduki kerusi berkenaan pada 1976 selepas bapanya yang juga perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein meninggal dunia semasa memegang jawatan.

Najib kini telah berkhidmat di kerusi itu selama 46 tahun.

Selepas Najib adalah ahli Parlimen enam penggal - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Noh Omar (Tg Karang) dan Hishammuddin Hussein (Sembrong).

Kenapa ahli Parlimen Umno bertahan lama

Menurut Dr Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, rekod Umno tidaklah mengejutkan.

“Salah satu sebabnya apabila pemimpin Umno mencapai tahap kepimpinan tertentu, mereka tidak akan berundur sebagai ahli Parlimen.

“Bagi parti-parti lain, jawatan ahli Parlimen bukanlah satu-satunya atau pengakhiran kerjaya politik mereka.

“Tetapi dalam Umno, anda bukan sesiapa jika bukan ahli Parlimen.

“Tambahan pula, kebanyakan ahli Parlimen Umno adalah ketua bahagian dan bukan mudah untuk menggantikan mereka di peringkat bahagian,” kata pensyarah sains politik itu.

Selepas Umno, parti lain yang mempunyai ahli Parlimen berkhidmat untuk tempoh yang panjang adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, DAP dan Amanah.

Purata penggal bagi setiap ahli Parlimen bagi ketiga-tiga parti ialah 2.61, 2.54 dan 2.45.

Mengetuai kumpulan PBB ialah menteri undang-undang dan parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat berusia 76 tahun itu kini memasuki penggal ketujuh.

Dalam DAP, yang paling lama berkhidmat ialah veteran Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) yang kini dalam penggal ke-11. Bekas setiausaha agung DAP itu hanyalah seorang daripada dua ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya pada 1960-an.

Ahli politik kelahiran Johor itu mula masuk ke Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Bandar Melaka pada 1969.

Ahli politik lain yang pernah menang pada 1960-an ialah Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) yang berusia 96 tahun. Bekas perdana menteri dua kali itu membuat penampilan sulung di Kota Setar pada 1964.

PKR dan Bersatu

Walaupun Umno sudah dijangka paling lama berkhidmat kerana menjadi parti tertua, parti yang lebih muda seperti PKR dan Bersatu mempunyai ahli Parlimen paling pendek iaitu 1.88 penggal bagi setiap ahli Parlimen dan masing-masing 2.25.

Menurut Lau, ini sudah dijangka untuk PKR kerana ia hanya ditubuhkan pada 1999 dan hanya dikira selepas pilihan raya umum 2008.

“Sebelum itu, PKR hanya mempunyai lima dan seorang ahli Parlimen pada pilihan raya 1999 dan 2004. Mereka hanya muncul pada 2008 dengan 31 dan 30 dan 48 pada pilihan raya 2013 dan 2018.

“PKR juga memilih calon kerana populariti mereka ketika itu. Sebagai contoh Loh Gwo Burne (Kelana Jaya 2008). Beliau muncul selepas videonya mengenai manipulasi pelantikan kehakiman tetapi hanya berkhidmat satu penggal kerana politik bukan bidangnya.

“Bersatu, bagaimanapun, adalah satu anomali,” kata Lau.

Beliau berkata, walaupun Bersatu hanya ditubuhkan pada 2016 dan hanya bertanding dalam satu pilihan raya umum, purata penggal bagi setiap ahli Parlimen adalah lebih tinggi daripada PKR kerana ia telah menyerap ramai bekas ahli Parlimen PKR dan Umno.

“Selepas Muhyiddin Yassin (Pagoh - 8 penggal) ahli Parlimen paling lama berkhidmat ialah Abdul Latiff Ahmad (Mersing - 5 penggal), Mustapa Mohamed (Jeli - 5 penggal), Ronald Kiandee (Beluran) dan Kamarudin Jaafar (Bandar Tun Razak - 5 penggal ).

“Tetapi semua kecuali Kamarudin (bekas PKR) adalah bekas ahli Parlimen Umno,” kata Lau. “Oleh itu, purata Bersatu lebih tinggi daripada yang lain seperti PKR.”

Sebaliknya, Lau berkata purata PAS lebih rendah berikutan penghijrahan ahli Parlimen veteran seperti Mohamed Sabu (Kota Raja) dan Mahfuz Omar (Pokok Sena), yang kedua-duanya mempunyai empat penggal.

Pada 2-15, Mohamed Sabu meninggalkan PAS untuk menubuhkan Amanah selepas PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. – 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen