Bekalan ayam akan stabil tidak lama lagi, kata pemain industri


Khoo Gek San

Pemain industri berkata bekalan ayam segar kini beransur-ansur stabil walaupun berat ayam kurang daripada biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

BEKALAN ayam segar kini beransur-ansur stabil walaupun berat ayam kurang daripada biasa, kata pemain industri.

Walaupun bekalan ayam mula stabil namun ia mungkin mengambil masa tiga bulan lagi untuk berat ayam kembali seperti dahulu.

Ini kerana kata mereka kekurangan tenaga kerja menyebabkan banyak ladang tidak dapat memenuhi permintaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pudu Kuala Lumpur Lim Kin berkata bekalan stabil tetapi berat ayam berkurangan.

Keadaan sekarang lebih baik berbanding dua bulan lalu apabila penternak hanya mendapat lima atau enam ekor ayam apabila mereka memesan 10 ekor.

Sekarang apabila mereka membuat pesanan 10 ekor, sekurang-kuragnya mereka boleh mendapat lapan ekor.

“Satu-satunya isu ialah berat ayam tidak lebih daripada 2kg seperti sebelum ini iaitu kira-kira 1.6kg.

“Bagi memenuhi permintaan penternak kini mempercepatkan masa pengeluaran mereka ke pasaran tanpa mengira berat,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Pengguna juga memahami kerana tiada sebaranga aduan walaupun berat ayam di pasaran berkurangan, katanya.

Ahli Persatuan Penternak Ayam Kecil dan Sederhana Johor Lau Ka Keng berkata pengeluaran di ladangnya berkurangan berikutan kekurangan pekerja asing.

“Sekurang-kurangnya separuh daripada pekerja saya sudah berhenti kerja jadi sekarang saya hanya boleh mengendalikan 100,000 ekor ayam berbanding 200,000 ekor ayam,” katanya.

Lau berkata hanya kerana mereka menternak 1,000 ekor ayam daging ia tidak bermakna 1,000 ekor ayam segar.

Kualiti makanan dan cuaca juga memberi kesan kepada berapa banyak ayam yang akhirnya akan dibawa ke pesaran.

“Ayam kami kini mempunyai berat sekitar 1.8kg tetapi kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memprosesnya,” katanya.

Walaupun kerajaan mempercepatkan pembayaran subsidi Lau berkata peternak masih belum menerima subsidi untuk Mac.

Harga makanan yang tinggi, kekurangan tenaga kerja dan harga ayam daging yang tinggi menyebabkan kekurangan ayam di pasaran sejak sebulan lalu.

Bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran domestik kerajaan menghentikan eksport ayam mulai 1 Julai ini.

Tiga bulan untuk bekalan kembali normal

Seorang lagi penternak yang tidak mahu namanya didedahkan berkata kualiti makanan dan cuaca menyebabkan penternak tidak dapat memenuhi permintaan dan ini menjejaskan kualiti serta kadar pertumbuhan ayam.

Penternak itu berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk ayam kembali ke berat 2kg sebelum dijual di pasaran.

Subsidi juga belum dibayar sejak Mac, katanya.

“Kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan pekerja tempatan tidak sanggup bekerja terutama ketika perlu memproses ayam,” katanya.

Walaupun larangan eksport akan membantu menstabilkan bekalan dalam jangka pendek beliau berkata dalam jangka panjang masalah itu hanya boleh diselesaikan dengan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.

“Dahulu kami memperoleh keuntungan kasar RM1.70 bagi setiap ayam yang kami jual. Kini kami kerugian RM1 bagi setiap ayam yang diternak kerana kekurangan tenaga kerja dan harga makanan,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan beliau berkata ayam kini dijual pada berat yang lebih rendah. – 18 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen