Harga bahan mentah naik, pengusaha makanan elak rugi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Peningkatan harga bahan mentah seperti telur memaksa penjual makanan menaikkan harga selain mencari kaedah lain bagi menjimatkan kos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2022.

PENINGKATAN harga bahan mentah seperti tepung gandum dan telur memaksa penjual makanan menaikkan harga selain mencari kaedah lain bagi menjimatkan kos.

Seorang peniaga cucur udang di Cheras, Kuala Lumpur berkata, harga tepung gandum yang melonjak memberi kesan besar kepada operasi dan kadar keuntungannya.

Rohana Ibrahim, memberitahu The Malaysian Insight, harga seguni tepung gandum yang sebelum ini pada kadar RM70 kini sudah naik ke paras RM88 seguni.

“Saya yang berniaga kecil-kecilan ini terjejas teruk hingga terpaksa menaikkan harga cucur udang sebanyak RM0.50 setiap satu.

“Jika sebelum ini saya jual RM5 satu cucur, sekarang harganya adalah RM5.50. Walaupun masih boleh bertahan, namun margin keuntungan menurun,” katanya.

Rohana, 45, berkata ada pelanggan merungut dengan kenaikan harga cucur udangnya namun ramai yang memahami keadaan pasaran barang mentah semasa.

“Ramai yang masih memberi sokongan kepada saya meskipun saya terpaksa naikkan harga.

“Tidak kurang juga yang merungut dan berhenti membeli dengan saya, tetapi apakan daya masing-masing terkena tempias akibat kenaikan harga barang ini,” katanya.

Rohana Ibrahim, peniaga cucur udang di Cheras, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

Kenaikan harga tepung itu juga diakui seorang peniaga roti canai dan makanan di Kajang, Bakaruddin Mohamed, yang berkata terdapat pembekal mengehadkan pembelian.

“Sebelum ini harga bagi setiap kotak yang di dalamnya ada 10 peket sekilogram tepung gandum adalah sebanyak RM25 namun baru-baru ini ia sudah melonjak kepada harga RM30 sekotak.

“Pembekal turut memaklumkan harga tersebut meningkat lagi sebanyak RM4 tidak lama lagi.

“Kebanyakan pemborong memaklumkan mereka dapat bekalan bahan mentah itu dalam kuantiti terhad menyebabkan terpaksa hadkan setiap pembelian,” katanya.

Bakaruddin, 60, berkata ini memaksa beliau menaikkan harga makanan termasuk roti canai antara 20 ke 50 sen kerana harga bahan mentah lain seperti marjerin, susu dan telur ayam juga naik.

Lazimnya beliau menanggung RM800 untuk kos bahan mentah harian tetapi jumlah itu kini mencecah RM1,300 sehari, katanya.

“Langkah ini terpaksa saya ambil kerana tidak dapat menampung kos kenaikan bahan-bahan mentah ini.

“Tentunya kenaikan harga ini bukan sahaja memberi bebanan kepada pengusaha malah pengguna dalam perbelanjaan mereka,” kata Bakaruddin.

Peniaga roti canai di Kajang, Bakaruddin Mohamed, berkata pembekal mengehadkan pembelian tepung. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

Seorang peniaga dim sum dan pau di Balakong, yang mahu dikenali sebagai Lim, pula berkata beliau terpaksa mengurangkan kos termasuk penggunaan elektrik untuk mengelakkan kenaikan harga.

Lim yang kini berusia 60-an berkata, beliau bertindak demikian untuk mengelak memindahkan kos tersebut kepada pelanggan.

“Saya kini hanya mengehadkan penggunaan sebuah peti ais bagi simpanan barang. Kebanyakan pelanggan membeli dim sum dengan saya sejak bertahun-tahun lamanya.

“Saya kasihan nak bebankan mereka,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 15 tahun lalu.

Kata Lim, beliau juga perlu mencari ramai pembekal lain bagi membolehkannya mendapat harga lebih murah untuk sesuatu bahan mentah.

Seorang pengusaha gerai nasi lemak dan tosai di Taman Maluri, Sitra Devve Sinniah, pula lebih sanggup mengurangkan keuntungan dari kehilangan pelanggan.

“Jika sebelum ini kos membeli bahan mentah adalah RM40 sehari tetapi kini sudah mencecah RM70.

“Bagi bahan sering seperti bihun dan lain-lain biasanya saya akan berbelanja RM100 seminggu tetapi kini sudah hampir RM150.

“Tapi saya tidak dapat naikkan harga makanan yang dijual takut pelanggan tidak akan kunjungi gerai saya,” kata Sitra Devve, 57, yang menjalankan perniagaan pada waktu malam sahaja.

Menurut pemerhatiannya, kenaikan harga bahan mentah kali ini menjejaskan hampir setiap peniaga makanan namun mereka tidak sanggup menambah beban kepada pelanggan.

“Saya masih ada dapat untung walaupun sedikit, tetapi pelanggan saya rata-rata terdiri dari keluarga B40 atau warga asing yang memang tidak mampu membeli makanan yang mahal.

“Disebabkan itu saya tidak mahu menambah beban mereka,” katanya.

Sitra Devve Sinniah berniaga di Taman Maluri, Cheras di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

Di Petaling Jaya, seorang pembuat dan penjual roti yang mahu dikenali sebagai Meng Zheng mengakui tersepit kerana hampir semua bahan mentah mengalami kenaikan kos.

“Bukan sahaja tepung gandum, malah lemak sayur dan mentega turut semakin mahal,” katanya yang meneruskan legasi perusahaan keluarga sejak 1975 itu.

“Bagi perniagaan saya, tiga bahan utama untuk menghasilkan roti naik mendadak sejak beberapa bulan lalu.

“Jika dahulu, lemak sayur adalah RM50 sekotak tetapi sekarang RM143. Tepung pula, harganya naik kepada RM81 berbanding harga lama RM55,” katanya.

Bukan sahaja bahan mentah, kata Meng Zheng, plastik membungkus roti juga naik hingga RM15 sekilogram berbanding harga lama RM9.

“Tetapi, saya masih belum menaikkan harga roti yang sudah dijual secara turun temurun ini. Memang keuntungan saya berkurang tetapi saya akan cuba bertahan dengan harga sama hingga hujung tahun ini.

“Yang penting saya dapat menjalankan perniagaan, membayar gaji pekerja dan saya banyak kurangkan kos elektrik dan lain-lain yang mampu dibuat. 

“Ramai peniaga yang dah gulung tikar dan tidak mampu meneruskan operasi, saya masih bersyukur,” katanya. – 19 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen