Tiba masanya persekutuan, negeri runding perkongsian kuasa, kata Chin Tong


Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata pemusatan kuasa dan sumber di tangan kerajaan pusat menjejaskan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2022.

TITAH Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang menyifatkan negeri itu seperti dianak tirikan kerajaan pusat mendapat perhatian Ahli Parlimen Perling Liew Chin Tong hari ini.

Katanya, pemusatan kuasa dan sumber di tangan kerajaan pusat menjejaskan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.

“Titah DYMM Sultan Johor kepada kerajaan persekutuan untuk bersikap adil kepada Johor dari segi perkongsian kuasa dan sumber memang tepat pada masanya. 

“Ia juga selaras dengan sentimen di kebanyakan negeri yang merasakan kerajaan pusat tidak melayan mereka dengan adil. 

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri berunding semula untuk mewujudkan federalisme yang lebih adil dan seimbang, yang akan dapat menyumbang kepada kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia,” kata Liew dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 2020 Johor menerima RM47.82 juta daripada peruntukan persekutuan manakala pemberian penyelenggaraan jalan negeri pula ialah RM626.42 juta, melalui kaedah lama “geran per kapita”.

Jumlah keseluruhan yang diterima oleh Johor dari kerajaan persekutuan pada 2020 hanya RM888.97 juta, iaitu jumlah yang kecil berbanding jumlah cukai yang dikutip daripada negeri, katanya.

Tambah Liew, situasi ini tidak hanya dialami Johor tetapi juga Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Pengerusi DAP johor itu berkata beliau telah menulis surat kepada Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi pada 19 Mei lalu, bagi mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri yang bersifat dwipartisan bagi memastikan sistem federalisme yang lebih adil serta memperkasakan negeri-negeri.

“Suruhanjaya ini perlu membentangkan laporannya pada akhir tahun ini,” katanya, menambah suruhanjaya tersebut akan mengkaji tawaran baharu berhubung perkongsian kuasa dan sumber untuk 50 tahun akan datang.

Beliau seterusnya mencadangkan menteri besar menerajui usaha mengajak semua negeri yang berminat untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri bagi menyeleras dan menetapkan agenda baharu perkongsian kuasa dan sumber di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. 

“Mana-mana negeri yang merasakan hubungan antara pusat dan negeri tidak adil patut menyertai jawatankuasa ini untuk menzahirkan satu tawaran baharu yang lebih seimbang dan adil.

Menurut Liew, titah Sultan Johor kepada kerajaan persekutuan supaya bersikap adil kepada negeri itu dari segi perkongsian kuasa dan sumber memang tepat pada masanya dan perlu diambil perhatian serius.

Semasa merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 semalam, Sultan Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan menambah peruntukan kepada Johor, yang dilihat seolah-olah dianaktirikan dalam beberapa keputusan yang dibuat.

Baginda bertitah, meskipun menyumbang hampir RM13 bilion setiap tahun namun pembangunan di Johor masih terpinggir.

Sultan Ibrahim antara lain menyentuh mengenai bangunan persekutuan yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar.

Nilai pelaburan di Johor semakin merosot sejak 2019, namun ia bukan berpunca akibat pandemik Covid-19, titah baginda.

Sultan Ibrahim juga memberi amaran Johor boleh memilih untuk keluar Malaysia jika hak-hak negeri itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tidak dipenuhi.

Baginda selain itu menyelar keputusan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018 kerana membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh. – 17 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen