Pemuda PAS Kelantan diasak isu prestasi kerajaan negeri


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed dihujani soalan bertalu-talu sewaktu tampil dalam satu forum malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight , 17 Jun, 2022.

PEMIMPIN sayap Pemuda PAS Kelantan diasak mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), isu bekalan air, pembalakan dan royalti petroleum sewaktu tampil dalam satu forum pada malam tadi.

Ketua pergerakan itu Mohamad Kamal Mohamed dihujani soalan bertalu-talu sewaktu tampil bersama rakan sejawat dari Umno, Noor Hariri Mohamed Noor dan juga Hasmi Hassan (Amanah).

Ia antara lain diajukan peserta bernama Zahari Sidek dari Bachok yang mempersoalkan komitmen PAS dalam kerjasama dengan Umno dalam MN.

Beliau sangsi dengan kerjasama itu dakwanya PAS secara terang-terangan menggunakan masjid dan surau bagi mesyuarat parti sedangkan tempat ibadat itu sepatutnya bebas aktiviti politik.

“Saya tertarik dengan apa yang ustaz Kamal kata mengenai politik matang sejahtera sebagai tawaran Pemuda PAS Kelantan. Sebab cerita ini baru berlaku kelmarin

“Surau di rumah saya setiap hari ada kuliah agama, tapi dua hari lepas saya dapat dengar pengumuman, minta bendahari, setiausaha laporkan diri. Rupa-rupanya (PAS) adakan mesyuarat di surau.

“Jadi soalan saya macam mana kita nak panggil budaya politik sejahtera jika PAS gunakan masjid yang sepatutnya sebagai tempat perpaduan tapi digunakan untuk bermesyuarat parti,” katanya.

Dalam forum disiarkan langsung di laman Facebook kerajaan negeri itu, beliau turut mendakwa satu kejadian banjir lumpur di Lojing, Gua Musang berlaku disebabkan pembalakan tidak terkawal.

Mengulas isu itu PAS menggunakan surau sebagai tempat bermesyuarat, Kamal berkata tiada halangan jika mana-mana parti termasuk Amanah menggunakan surau untuk bermesyuarat.

“Kalau masjid benarkan boleh sahaja guna, Amanah pun boleh guna tapi kalau masjid membenarkan jadi gunakanlah sahaja,” katanya dalam forum Masa Depan Kelantan, Anak Muda.

Mengulas mengenai isu banjir lumpur di Lojing pula, Kamal menyifatkan masalah banjir merupakan perkara biasa berlaku kerana hujan lebat.

“Soal banjir berlaku ini biasalah, ia berlaku akibat hujan lebat, saluran tersumbat, tapi isu itu dan selesai, dan ada kemalangan jiwa pun jadi isu ini  biasa sahaja,” katanya.

Jawapannya dicelah seorang peserta yang mempersoal kemampuan PAS menyelesaikan tuntutan royalti minyak biarpun ahli Parlimen parti itu, Takiyuddin Hassan kini menteri undang-undang.

Moderator, Mohamad Tawfik Yaakub juga mencelah dengan gesaan agar Pemuda PAS mengabaikan isu tersebut kerana forum tersebut hanya membincangkan mengenai isu anak muda.

Moderator juga memberi alasan sama apabila Hazmi membangkitkan mengenai masalah bekalan air di negeri tersebut.

Jawapan berkenaan seterusnya dibidas Noor Hariri yang berkata PAS dan kerajaan negeri tidak patut terus menafikan isu air memberi kesan besar kepada rakyat Kelantan.

Masalah bekalan air itu antara rungutan utama ke atas pentadbiran PAS di Kelantan walaupun parti itu menguasai negeri pantai timur tersebut sejak lebih 30 tahun.

Sentimen tersebut diperhatikan semakin keras sewaktu tumpuan terarah pada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, forum itu juga dihangatkan luahan kecewa seorang peserta, Mohd Naqi Hassan mengenai isu pengambilan tanah oleh anak syarikat kerajaan negeri yang disifatkannya menganiaya rakyat.

Katanya, penduduk di Kampung Atas Paloh di Kota Bharu itu hanya diberikan RM500 sebagai pampasan walaupun dijanjikan RM1,000.

Naqi berkata tindakan kerajaan negeri itu langsung tidak mencerminkan sebuah kerajaan Islam yang dicanangkan oleh PAS.

Seorang lagi peserta membangkitkan isu ancaman kepada pendapatan nelayan ekpran pembinaan projek ladang solar yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara di Danau Tok Uban, Pasir Mas.

Terdapat juga peserta yang mempersoalkan mengenai kekeliruan mengenai kebenaran operasi panggung wayang di Terengganu dan Kelantan walau kedua-duanya dipimpin PAS.

“Adakah Islam PAS di Kelantan dan Terengganu lain-lain kerana Terengganu ada wayang, Kelantan tidak ada, kata peserta yang memperkenalkan diri dengan nama Wiruddin Zulkifli.

Dalam penjelasannya Kamal berkata dakwaa Kelantan menyekat pembukaan panggung wayang itu sebagai fitnah semata- mata.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah menyekat mana-mana pihak yang ingin membuka panggung wayang di negeri itu namun harus mengikuti garis panduan ditetapkan.

“Pawagam bukannya tidak boleh buka di Kelantan,tapi kena ikut syarat kerajaan negeri, kita tidak pernah sekat yang kita ada cuma garis panduan.

“Kalau boleh ikut garis panduan, jadi bolehlah buka panggung wayang, bagi saya kata kerajaan negeri sekat wayang dibuka itu soalan fitnah,” katanya. – 17 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen