70,455 pelajar cicir SPM, KPM perlu beri penjelasan lebih mendalam


PENGUMUMAN analisis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Nur Zamani Abdol Hamid semalam sebenarnya memerlukan lebih banyak penjelasan.

Ini adalah kerana selain daripada pengumuman mengenai 1,655 calon yang telah  mencatatkan markah semua G, juga terdapat trend yang membimbangkan iaitu seramai 24,941 atau 6.2% calon yang telah mendaftar tidak menduduki peperiksaan SPM ini.

Dalam masa yang sama, seramai 45,514 atau 11.91% calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. 

Kesemua 70,455 calon ini dikategorikan sebagai cicir SPM yang membawa maksud mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, sama ada kerana tidak hadir peperiksaan tersebut mahupun kerana tidak layak mendapatkan sijil.

Walaupun kita semua maklum peperiksaan SPM 2021 ini dilaksanakan pada tahun yang mencabar akibat tekanan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai calon hanya belajar dari dalam talian berbanding pembelajaran bersemuka, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) harus menjelaskan beberapa perkara seperti;

i. Apakah demografi 70,455 calon ini dan latar belakang sosial dan ekonomi mereka?

ii. Berapa peratus dari 70,455 calon ini yang tergolong sebagai warga miskin, B40 dan warga pedalaman?

iii. Adakah trend ini menunjukkan kegagalan pembelajaran dalam talian untuk warga miskin, B40 dan pedalaman?

iv. Apakah langkah awal yang telah diambil oleh KPM sebelum ini untuk mengatasi keciciran dalam angka yang besar seperti ini?   

v. Apakah nasib 45,514 calon yang tidak layak mendapatkan sijil ini dan apakah langkah yang telah diatur oleh KPM untuk membantu mereka?

Hanya dengan transparensi daripada pihak KPM untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam dapat membantu rakyat Malaysia khususnya untuk memahami trend keciciran yang sangat merisaukan ini.  – 17 Jun, 2022.

* Untuk Malaysia, sebuah gerakan perubahan pendidikan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen