Jangan pertahan puak pelampau agama, kata kumpulan Islam


Alfian Z.M. Tahir

Skuad Badar di Kedah yang mengaku sebagai pembela Islam pernah menyerbu hotel murah dan membawa pasangan yang bukan muhrim ke perkuburan sebagai satu bentuk hukuman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

DISKRIMINASI terhadap golongan minoriti dilakukan oleh kumpulan agama berhaluan kanan yang disokong badan agama ditaja kerajaan, kata kumpulan Islam progresif.

Bercakap pada satu majlis di Kuala Lumpur, pegawai projek Komuniti Muslim Universal Hisham Muhaimi turut menegur PAS kerana mencetuskan ketegangan agama di negara ini.

“Tidak lama dahulu, di Kedah ada kumpulan yang mengaku sebagai pembela Islam. Mereka serbu hotel-hotel murah, bawa orang yang disyaki berkhalwat ke tanah perkuburan sebagai hukuman.

“Ini mewujudkan sikap tidak bertolak ansur yang membuka pintu kepada polis moral untuk menjaga orang sedangkan mereka tidak berhak atau ada kuasa untuk berbuat demikian,” kata Hisham, merujuk kepada Skuad Badar, sebuah kumpulan di Sungai Petani yang menyerbu beberapa hotel murah di daerah itu untuk menangkap pasangan Islam.

Hisham berucap pada program “Malaysian Muslim Youths’ Perspective on Politics, Economy, Social life and the role of Islam” anjuran Merdeka Center dan Sisters in Islam (SIS).

Behubung PAS, Hisham berkata presidennya Abdul Hadi Awang bertanggungjawab kerana menyalahgunakan agama untuk tujuan politik.

Hisham turut mengingatkan kembali perhimpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 2018, yang mana ketika itu Hadi keluarkan fatwa gesa umat Islam mempertahankan agama daripada “penjajahan barat”.

“Apa yang Hadi lakukan dengan menggesa orang ramai keluar dan menolak ICERD adalah berbahaya,” tambahnya.

Ia bukan kali pertama Hadi menggunakan fatwa untuk tujuan politik. Pada tahun 80-an, beliau telah menggelar Umno sebagai ‘kafir’ kerana menolak Islam, katanya.

Hisham juga berkata Malaysia perlu membina semula sistem pendidikannya.

“Kita kata kita berbilang budaya, berbilang etnik, tetapi kita cuma meraikan kepelbagaian dalam soal makanan, tanpa mengendahkan isu sebenar,” tambahnya. – 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen