Bank di India ditipu hampir RM7 bilion


Skandal itu melibatkan syarikat peniaga berlian milik Nirav Modi dan mempunyai nilai urus niaga dalam kes penipuan itu melebihi 114 bilion rupee (RM7 billion), menjadikannya skandal perbankan terbesar India. Skandal itu mendapat bantahan rakyat negara itu. – Gambar AFP, 19 Februari, 2018.

INDUSTRI perbankan India kecoh dengan kes penipuan melibatkan ahli perniagaan negara itu yang bertaraf jutawan melakukan penipuan besar-besaran melibatkan hampir AS$1.8 bilion (RM7 bilion).

Punjab National Bank (PNB), sebuah daripada bank swasta terbesar di India, baru-baru ini melaporkan komplot melibatkan syarikat peniaga berlian milik Nirav Modi yang mengeluarkan surat aku janji palsu (LoU) atau jaminan yang membolehkan mereka memperoleh pinjaman dari cawangan bank India di luar negara.

Nilai urus niaga dalam kes penipuan itu melebihi 114 bilion rupee (RM7 billion), menjadikannya skandal perbankan terbesar India.

Agensi penyiasat utama India iaitu the Central Bureau of Investigation (CBI) dan Enforcement Directorate dilaporkan sedang menyiasat kes ini yang bukan sahaja menggoncang sektor perbankan negara ini tetapi juga membuatkan kerajaan serta parti pembangkang saling menuding jari.

Syarikat Modi memperoleh LoU dari cawangan PNB di Mumbai dengan bantuan seorang kakitangan bank berkenaan. Bank itu menamakan Diamonds R Us, Solar Exports serta Stellar Diamonds dalam aduan mereka.

CBI juga mengemukakan kes terhadap Mehul Choksi iaitu ketua kumpulan syarikat barang kemas Gitanjali. Beliau adalah bapa saudara dan didakwa rakan perniagaan Modi.

Penipuan ini dilaporkan berlaku dalam tempoh tujuh tahun dan yang menjadi persoalan ialah kaedah pengauditan bank berkenaan, amalan pengurusan risiko serta sistem sekat dan imbangan dalaman bank itu.

Peniaga berlian berusia 47 tahun itu yang mengambil aktres terkemuka Bollywood, Priyanka Chopra sebagai duta barang kemasnya serta mempunyai ramai pelanggan Hollywood dan antarabangsa, dilaporkan telah meninggalkan India sejak Januari lagi.

Keluarga Modi termasuk isterinya yang berbangsa Amerika, Ami, serta saudara lelakinya Nishal Modi, warganegara Belgium, meninggalkan India sebelum skandal itu terbongkar.

Modi, kelahiran India, dibesarkan di bandar Antwerp, Belgium. Ayah beliau memulakan perniagaan berlian di Antwerp dan dari bandar itu, jenama barangan perniagaannya berkembang ke China, Britain, Amerika Syarikat dan negara lain.

Kerajaan India telah membatalkan pasport Modi dan Choksi atas nasihat pihak Enforcement Directorate.

Kes Nirav Modi memalukan kerajaan India yang sebelum ini pernah dikecam hebat kerana gagal menyekat jutawan Vijay Mallya dari melarikan diri ke Britain pada 2016.

Mallya, yang dikenali sebagai “King of Good Times”, memiliki syarikat penerbangan yang sudah tidak lagi wujud iaitu Kingfisher Airlines serta empayar perniagaan arak mempunyai hutang kira-kira 90 bilion rupee (RM4.5 bilion) dengan bank India.

Menurut Parti Kongres, Nirav Modi, yang dipanggil “Chhota Modi Two” (Little Modi Two), menggunakan pengaruh politik untuk meninggalkan India. Parti itu juga menggelar Lalit Modi, jutawan yang dikenali menguruskan kriket Liga Perdana India dan lari ke Britain selepas berdepan dengan siasatan cukai di India sebagai “Chhota Modi One”.

Modi adalah nama yang sering digunakan di beberapa bahagian India.

“Kes penipuan bank ini adalah yang terbesar di India dan siapa yang membenarkan ia berlaku?” soal jurucakap Parti Kongres, Randeep Singh Surjewala.

Kerajaan India telah menolak dakwaan pihak pembangkang dan berikrar mereka yang terlibat dalam kes PNB akan dihukum.

Menurut laporan, peniaga berlian itu menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Switzerland.

Ketika India sedang berusaha untuk menyelesaikan skandal perbankan Nirav Modi, terdapat satu laporan penipuan bank melibatkan 8 bilion rupee (RM500 juta) melibatkan seorang ahli perniagaan.

Bukan sesuatu yang pelik untuk penyangak perniagaan atau orang korporat di India meminjam wang dari bank dengan tujuan untuk menipu.

Bank-bank di India dilaporkan sedang bergelut dengan hutang yang berpotensi menjadi hutang lapuk melibatkan sekitar AS$150 bilion. – Bernama, 19 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen