Pegawai kanan IS ditangkap di Syria


Tentera Syria berjalan melepasi grafiti militan Negara Islam (IS). Pada Khamis gabungan dikepalai Amerika Syarikat mengumumkan penangkapan seorang pegawai kanan IS dalam serbuan di negara itu. – Gambar AFP, 16 Jun, 2022.

SEORANG pegawai kanan kumpulan dipanggil Negara Islam (IS) telah ditangkap dalam serbuan di Syria pada Khamis, kata pakatan yang dikepalai Amerika Syarikat (AS).

Pegawai yang tidak dinamakan itu merupakan “pembuat dan pemudah cara bom yang berpengalaman” dan salah seorang pemimpin tertinggi IS di Syria, kata gabungan itu.

“Misi itu dirancang dengan teliti untuk meminimumkan risiko kerosakan, terutamanya sebarang potensi bahaya kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tiada orang awam yang cedera semasa operasi itu mahupun sebarang kerosakan pada pesawat atau aset gabungan.”

Selepas kehilangan wilayah terakhir mereka berikutan serangan tentera yang disokong oleh pakatan pimpinan AS pada Mac 2019, saki-baki IS di Syria kebanyakannya berundur ke tempat persembunyian di padang pasir.

Mereka telah menggunakan tempat persembunyian seperti itu untuk menyerang hendap pasukan Kurdish dan tentera kerajaan Syria sambil terus melancarkan serangan di Iraq.

Pada Februari, bekas ketua kumpulan militan itu Abu Ibrahim al-Qurashi terbunuh dia meletupkan bom untuk mengelak ditangkap semasa serbuan AS di barat laut Syria, kata Rumah Putih dan pegawai pertahanan AS.

Kumpulan itu telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan itu, dengan seorang jurucakap baru-baru ini menyeru penyokong untuk meneruskan serangan di Eropah, mengambil kesempatan daripada “peluang yang ada” daripada “perang sesama sendiri tentera salib”—merujuk kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. – AFP, 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen