Polis tumpas sindiket seludup diesel bernilai lebih RM500,000 


POLIS menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 95,000 liter bernilai RM522,500 menerusi serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, di Johor Bahru malam tadi.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata seramai 30 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berumur 46 tahun yang dipercayai dalang serta mempunyai rekod jenayah lampau turut ditahan dalam serbuan Op Bersepadu pada 11 malam itu.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lepas dan diesel tersebut dijual di pasaran antarabangsa dengan harga dua kali ganda seliter serta menggunakan modus operandi mengubah suai tangki minyak lori.

“Mereka membeli minyak bersubsidi (di stesen minyak) dan ia dijual di pasaran gelap dengan harga dua kali ganda, kalau harga RM2.45 sen untuk seliter, mereka jual hingga RM4.50.

“Sindiket ini seludup ke negara berdekatan melalui jalan laut,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata sebanyak 27 lori pelbagai jenis dirampas termasuk lapan lori tangki yang diubah suai, tujuh penyedut minyak, empat penyedut minyak bermeter, dua tangki besar berkapasiti 19,000 liter, dua tangki besar berkapasiti 15,000 liter, 79 tong berkapasiti 1,000 liter serta wang tunai berjumlah RM12,507 dengan keseluruhan rampasan termasuk diesel bernilai RM3.018 juta.

Kamarul Zaman berkata siasatan lanjut akan dilakukan termasuk mengenal pasti sama ada terdapat kerjasama daripada pihak stesen minyak atau penguat kuasa dalam sindiket itu.

“Mana-mana penguat kuasa yang belot dalam melaksanakan tugas pun kita akan ambil tindakan dan saya percaya dalam masa terdekat kita dapat melumpuhkan lagi sindiket seperti ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – Bernama, 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen