Kerajaan masih bayar pinjaman AS$3 bilion 1MDB walaupun selepas 9 tahun


Ravin Palanisamy

BEKAS timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan Siti Zauyah Mohd Desa hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerajaan kini masih membayar pinjaman AS$3 bilion yang diberikan kepada milik kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pinjaman itu dibenarkan oleh kerajaan ketika itu selepas Najib Razak yang merupakan menteri kewangan menandatangani surat sokongan pada 2013.

Siti Zauyah, 63, yang kini bersara mengesahkan di mahkamah surat sokongan yang ditandatangani Najib sebagai menteri kewangan pada 14 Mac 2013 untuk mewakili kerajaan Malaysia dalam menyokong 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) dalam menerbitkan bon AS$3 bilion itu.

Kerajaan mengeluarkan surat sokongan yang mengakui anak syarikat 1MDB GIL akan mengumpul AS$3 bilion melalui terbitan bon yang akan dibayar sepenuhnya pada Mac 2023.

Saksi ke-26 pendakwaan yang bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan itu bagaimanapun berkata jabatan itu tidak menerima sebarang laporan kewangan berhubung pinjaman AS$3 bilion itu.

“Saya mengesahkan bahawa status pinjaman AS$3 bilion yang dirujuk dalam kenyataan saksi bahawa 1MDB sebagai peminjam AS$3 bilion telah gagal membayar balik pinjaman itu mengikut terma yang ditetapkan.

“Perkara ini menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa membayar balik hutang 1MDB berdasarkan LOS yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh menteri kewangan Najib Razak pada 2013,” katanya ketika membaca kenyataan saksinya. 

Siri Zauyah juga menambah BPKA kemudiannya bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB.

Bagaimanapun beliau mengesahkan sepanjang berada di sana beliau tidak menerima sebarang laporan balas daripada pengurusan 1MDB berhubung penggunaan dana berjumlah AS$3 bilion yang diperolehnya melalui surat sokongan daripada kerajaan.

“1MDB bertanggungjawab mengemukakan laporan pelaburan mereka kerana tujuan permohonan surat sokongan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

“Saya ada berhubung dengan wakil 1MDB pada masa itu iaitu Zahid Taib untuk mereka memberi maklum balas, mengemukakan dokumen atau laporan kepada Kementerian Kewangan tetapi 1MDB tidak menyerahkan sebarang laporan kepada bahagian saya pada masa itu,” katanya. – 15 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen