SUDAN semalam membebaskan berpuluh-puluh aktivis pembangkang yang ditahan bulan lalu dalam gerakan keganasan terhadap penunjuk perasaan yang membantah kenaikan harga makanan.
Pembebasan tahanan termasuk beberapa tokoh kanan pembangkang berlaku tiga hari selepas Kedutaan Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung penahanan itu dan berkata ramai yang ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Mereka yang dibebaskan keluar dari penjara Kobar, di utara Khartoum sambil melaungkan “Kebebasan! Keadilan! Revolusi!”.
Mereka disambut dan dipeluk oleh ahli keluarga yang sudah beberapa jam menunggu di luar penjara.
“Menurut perintah Presiden Omar al-Bashir, semua tahanan dibebaskan,” kata pegawai khas kanan kepada Bashir, Abdelrehman Al-Sadiq kepada wartawan.
Pada Khamis, Kedutaan AS berkata ratusan pemimpin politik, aktivis dan rakyat biasa ditahan oleh pihak berkuasa Sudan.
Kebanyakan tahanan itu ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dan tanpa akses kepada peguam dan keluarga, kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.
Tahanan yang dibebaskan berkata mereka menjangkakan pembebasan itu ada kaitan dengan situasi politik dalam negara.
“Tetapi kami belum benar-benar bebas kerana beberapa lagi rakan kami masih ditahan,” kata Al-Sidiq Al-Sadiq, anak lelaki bekas perdana menteri Sadiq al-Mahdi, di mana kerajaannya digulingkan oleh Bashir dalam satu rampasan kuasa pada 1989.
“Masih ada undang-undang yang menyekat kebebasan.”
Antara yang dibebaskan semalam ialah Fadlalla Burma Nasir dan Sarah Nugdallah, pemimpin kanan Parti Umma, parti pembangkang utama di Sudan dan aktivis hak wanita Amal Habbani. – AFP, 19 Februari, 2018.
Komen