Keluarga Adib tarik balik rayuan hina mahkamah Tommy Thomas, kata peguam


Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim tarik balik rayuan untuk mensabitkan bekas peguam negara Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2022.

KELUARGA anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan untuk mensabitkan bekas peguam negara Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara itu, kata peguamnya Mohd Zubir Embong & Associates.

Dalam satu kenyataan, firma guaman itu memaklumkan pihak keluarga Adib menganggap perkara berhubung menghina mahkamah itu kini selesai.

“Pihak keluarga arwah Adib menganggap proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas/Jabatan Peguam Negara, selesai dan tamat di sini, serta berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu,” kata firma guaman itu.

Mereka bagaimanapun menegaskan penarikan balik kes itu bukan bermakna pihak berkuasa boleh menghentikan usaha mencari “pembunuh” Adib, seperti rumusan mahkamah koroner pada September 2019.

Pada 27 September, 2019 Mahkamah Koroner memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Inkues itu juga mendapati tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan Adib dibunuh.

Peguam keluarga Adib turut mengingatkan Mahkamah Koroner juga mendapati kematian Adib turut disumbang oleh kegagalan polis mengawal rusuhan, dan ia tidak pernah diketepikan mana-mana mahkamah yang lebih tinggi.

Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates menarik balik secara rasmi rayuan berhubung sabitan menghina mahkamah terhadap Thomas pada 31 Mei.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara juga menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidangkuasa hakim koroner mendengar dan menghukum kesalahan menghina mahkamah.

Bapa Adib, Mohd Kassim, 67, mengemukakan tindakan menghina mahkamah terhadap Thomas kerana didakwa membuat rumusan awal punca kematian anggota bomba itu sebelum ia diputuskan melalui inkues.

Keluarga Adib sebelum ini menerima pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan, yang dibayar pada November 2020.

Adib, 24, anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden malam kedua rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 28 November, 2018.

Beliau yang kritikal sempat sedar semula sepanjang tempoh tiga minggu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember, 2018 iaitu lima hari sebelum dijadual melangsungkan perkahwinan.

Pada Oktober 2021, Jemaah Menteri memutuskan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk memastikan siasatan yang telus dan menyeluruh berhubung kematian Adib. Jawatankuasa itu dijangka membentangkan laporannya kepada Kabinet pada Ogos ini. – 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen