Kanada batal mandat vaksin Covid-19 untuk perjalanan domestik


Kanada menarik balik keperluan vaksinasi kepada prjalanan domestik dan mereka yang ingin ke luar negara. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

KEPERLUAN vaksinasi Covid-19 di Kanada untuk pelancong domestik dan keluar negara, serta birokrat persekutuan dan pekerja pengangkutan, akan ditarik balik mulai minggu depan, kata pegawai pada Selasa.

Bagaimanapun, penggunaan pelitup muka masih diperlukan dalam pesawat dan kereta api.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan pada 20 Jun kerajaan kita akan menggantung keperluan untuk divaksinasi untuk menaiki pesawat atau kereta api di Kanada,” kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra pada sidang akhbar.

Beliau memetik kadar inokulasi yang tinggi dan penurunan jumlah kes Covid serta kemasukan ke hospital di seluruh negara. Langkah itu juga dilakukan kerana kebanyakan sekatan pandemik lain sudah ditarik balik.

Menteri Hal Ehwal Antara Kerajaan Dominic Leblanc, bagaimanapun menambah ia tidak segera meredakan kesesakan di lapangan terbang Kanada.

Masalah itu, bersama-sama dengan kelewatan dalam pengeluaran pasport, mencetuskan bantahan awam dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerana semakin ramai penduduk Kanada ingin melakukan perjalanan selepas lebih dua tahun sekatan dan penutupan pandemik.

Polisi wajib vaksin untuk pengembara dilancarkan pada Oktober lalu, dan Alghabra memberi amaran ia boleh dikenakan semula pada musim gugur jika kes Covid-19 melonjak semula.

“Kerajaan kita akan sentiasa menilai langkah-langkah dan tidak akan teragak-agak untuk membuat pelarasan tambahan berdasarkan nasihat dan sains kesihatan awam terkini,” katanya.

Sementara itu, pelancong yang memasuki Kanada mesti terus menunjukkan bukti vaksinasi. Mereka yang meninggalkan negara tidak lagi perlu berbuat demikian.

Alghabra berkata Amerika Syarikat, destinasi popular untuk warga Kanada, masih memerlukan bukti vaksinasi bagi mereka yang tiba dari luar negara.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Kanada berkata ia mengekalkan keperluan vaksinasi untuk pengembara masuk kerana “kadar vaksinasi dan kawalan virus di negara lain berbeza dengan ketara” dan ia akan “berfungsi sebagai perlindungan tambahan terhadap sebarang varian masa depan.”

Lebih 90% rakyat Kanada sudah menerima dua dos vaksin Covid, manakala kira-kira separuh juga telah menerima penggalak, menurut data kerajaan. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen