Muhyiddin nafi Azmin, Rashid akan tinggalkan Bersatu


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini menafikan desas desus yang Azmin Ali dan Rashid Hasnon akan meninggalkan partinya, berkata mereka kerap berjumpa dan tidak pernah timbul isu keluar parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan menteri kanan Azmin Ali bersama timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon akan tinggalkan partinya

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata beliau kerap berjumpa dengan kedua-dua mereka malah tidak pernah timbul langsung isu keluar Bersatu.

“Kenapa tak kata semua keluar (Bersatu), lagi besar berita, setahu saya tidak betul. Saya rapat dengan Azmin, dia menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap berbincang bukan saja soal masuk keluar, juga soal masa depan.

“Rashid, kali terakhir saya jumpa waktu majlis Hari Raya. Tiada apa yang disebut kecuali makanan. Jadi khabar angin itu tidak benar,” kata Muhyiddin kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.

Selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin umum keluar Bersatu pada 26 Mei, timbul pula desas desus yang beberapa bekas ahli PKR, termasuk Azmin, yang berpaling tadah ke Bersatu melalui Langkah Sheraton, akan turut mengikut jejak Zuraida.

Zuraida kini ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) di mana beliau dilantik sebagai presiden pengganti, berkata beliau bersedia untuk meletakkan jawatan daripada kabinet.

Ditanya sama ada ahli Parlimen Bersatu perlu dilantik untuk mengambil alih portfolio Zuraida dalam kabinet, Muhyiddin berkata beliau percaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memilih seseorang daripada parti itu.

“Saya sudah beritahu perdana menteri dan beliau akan berjumpa saya selepas bertemu Zuraida. Pendirian kami jelas, kementerian milik Bersatu itu kuota kami.”

“Tetapi PM ada kata putus. Bagaimanapun kami akan beri nama,” tambahnya. – 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen