Pelajar Florida berarak ke Washington, bantah jualan senjata


Emma Gonzalez, 18, menitiskan air mata ketika berucap mendesak undang-undang penjualan senjata api diubah susulan penembak di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas mengaku membeli senjata secara sah. – Gambar AFP, 19 Februari, 2018.

PELAJAR yang terselamat daripada insiden tembakan rambang besar-besaran di sekolah mereka di Florida, mengumumkan rancangan untuk berarak ke Washington dalam mendesak ahli politik membentuk undang-undang berhubung senjata api.

Perarakan bantahan “March for Our Lives” itu akan diadakan pada 24 Mac, dengan himpunan berkaitan dirancang diadakan di seluruh Amerika Syarikat, kata kumpulan pelajar itu semalam.

Mereka berikrar untuk menjadikan insiden maut di Parkland, Florida pada Rabu lalu sebagai titik perubahan dalam debat Amerika yang menemui jalan buntu berkaitan kawalan senjata.

Nikolas Cruz, 19, seorang pelajar bermasalah di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas mengaku membunuh 17 orang dengan senapang semi automatik AR-15 yang dibelinya secara sah, dalam insiden terkini di negara itu membabitkan lebih 30,000 kematian berkaitan senjata yang dilaporkan setiap tahun.

Antara pelajar yang akan menyertai perarakan itu ialah Emma Gonzalez, yang menjadi perhatian dunia dengan ucapannya yang berapi-api apabila mendakwa Presiden Donald Trump menerima sokongan berbilion dolar untuk kempennya, daripada lobi penggunaan senjata.

Gonzalez berikrar sekolah Stoneman Douglas akan menjadi insiden terakhir tembakan rambang besar-besaran.

Semalam, Gonzalez, 18, mendesak ahli politik menyertai perdebatan tentang kawalan penggunaan senjata – memetik Trump dan juga senator Florida daripada Republican, Marco Rubio dan Gabenor Rick Scott. – AFP, 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen