Peguam Negara tak maklum kes pegawai Mara Corp, kata Azam Baki


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

AGENSI antirasuah masih belum dimaklumkan mengenai pendakwaan ke atas tiga pegawai Mara Corporation berhubung isu salah guna kuasa, kata ketua pesuruhjayanya.

Azam Baki berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai dan Jabatan Peguam Negara tidak memaklumkan sama ada kes dimajukan untuk pertuduhan.

“Selepas siasatan selesai, SPRM sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh.

“Setakat ini kita tidak mempunyai makluman daripada Jabatan Peguam berhubung kes yang tak dituduh. Jadi saya tiada komen mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau mengulas laporan Malaysia Gazette hari ini mengenai status kes tersebut selepas Jabatan Peguam Negara menerima kertas siasatan SPRM sejak awal April lalu.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan SPRM sudah menyelesaikan tanggungjawab dalam siasatan kes berkenaan.

“Tugas kami sudah siasat dan keterangan yang ada sudah memadai untuk SPRM mencadangkan pertuduhan beberapa pihak,” katanya.

Dalam siasatan tersebut, SPRM merakam keterangan sekurang-kurangnya 32 individu termasuk lima pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa.

Antara yang dipanggil melibatkan pegawai kanan dan pengurusan dari Mara dan Mara Corp, pegawai bank dan juga dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut dipanggil pegawai syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat agensi itu.

Agensi itu juga merampas kertas cadangan dan minit mesyuarat ahli lembaga pengarah serta exco

Tiga pejabat agensi bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu diserbu SPRM dalam operasi pada Februari.

Ia membawa kepada siasatan ke atas tujuh individu bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan integriti itu.

Lima pegawai kanan Mara yang dituduh terlibat salah laku korporat membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan ke atas mereka dan juga bagi menyiasat kebocoran kes itu.

Kes tersebut antara lain didakwa melibatkan pemberian imbuhan dan kenaikan pangkat secara tidak wajar dan tidak disemak oleh pegawai pengurusan atasan.

Mereka turut membangkitkan kes dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi Mara Corp. – 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen