.jpg)
KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Satim Diman berjanji untuk tidak mengenakan caj beg plastik jika BN berjaya merampas Selangor adalah satu janji yang lucu dan menunjukkan mereka kehabisan idea.
Janji ini juga bersifat populis tanpa fakta bahawa BN Selangor langsung tidak peka kepada pencemaran alam sekitar.
Menurut kajian yang dibuat oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24% daripadanya plastik.
Pelupusan plastik juga mengambil masa selama 100-500 tahun untuk lupus secara semula jadi. Secara tidak langsung, plastik sebenarnya merupakan ancaman kepada alam sekitar.
Kempen untuk bebas beg plastik dan polistirena sangat penting kerana terdapat kemudaratan yang besar terhadap alam sekitar dan juga kesihatan pengguna.
Selain itu, kebiasaannya beg plastik digunakan hanya untuk beberapa minit saja sebelum ia dibuang atau disimpan untuk diguna semula.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan begitu peka tentang pencemaran alam sekitar dan seterusnya mengambil langkah proaktif untuk mengawal masalah ini dari terus berlanjutan.
Bermula 1 Januari, 2017 kerajaan negeri Selangor mula mengenakan larangan beg plastik bertujuan untuk mendidik rakyat tentang bahayanya pencemaran plastik kepada alam sekitar.
Terdahulu kerajaan negeri Melaka yang diterajui BN juga turut mengenakan larangan sama. Ini menunjukkan pemimpin BN di Melaka jauh lebih peka kepada masalah alam sekitar daripada pemimpin BN di Selangor yang hanya mementingkan tindakan populis demi meraih undi.
Di Selangor, kutipan caj 20 sen juga dikenakan untuk satu beg plastik bertujuan supaya rakyat menghargai alam sekitar dengan nilai untuk menyelamatkan bumi daripada terus dicemari.
Justeru saya menganggap BN Selangor bankrap idea dan gagal memahami kepentingan rakyat secara menyeluruh. Maka wajarlah BN ditolak bukan saja di Selangor, malah seluruh negara demi kepentingan rakyat. – 19 Februari, 2018.
* Muhammad Naqib Nasaruddin ialah pengarah komunikasi Pemuda PKR Selangor.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen