Tapi, hukuman mati untuk perasuah dan kleptokrat


Faisal Tehrani

BARU-baru ini kerajaan Barisan Nasional yang ingin menuai keyakinan segmen rakyat Malaysia yang bijak-bijak, telah mengumumkan untuk memansuhkan hukuman mati. Usaha ini untuk rekod bermula sejak zaman Pakatan Harapan dan merupakan salah satu janji gabungan parti politik tersebut. 

Meskipun saya menyokong penuh pemansuhan hukuman mati, saya berpendapat hukuman ini – hukuman mati – patut diperkenalkan untuk perasuah khusus penjenayah rasuah yang besar-besar imbuhannya (katakan RM30 ribu sebulan tanpa perlu buat apa-apa). Hukuman mati juga patut diketengahkan untuk kleptokrat.

Jika kita membaca buku monumental karangan Syed Hussein Alatas berjudul ‘Rasuah Sifat, Sebab Dan Fungsi’ yang sering menjadi rujukan Sultan Nazrin Shah kita akan mendapati hukuman mati untuk perasuah, khusus kleptokrat keji ini memang padan dan sesuai sekali.

Pada zaman lalu, menurut Profesor Syed Hussein Alatas manusia dan sekian banyak peradaban dunia menolak rasuah. Zoroasterianisme sebagai sebuah agama kuno misalnya mengutuk sogokan. 

Jadi, takkanlah kita pada zaman anti Bon Odori ini hanya sekadar meminta mereka perasuah ini membayar denda sejuta dua?

Syed Hussein meriwayatkan bahawa peradaban-peradaban lama seperti Mesir, Babylon, Ibrani, India, China, Yunani dan Romawi Kuno walaupun berdepan dan menanggung masalah rasuah, namun tidak satu pun daripada peradaban tersebut yang pernah mengiktiraf rasuah. Sebagai contoh, saya belum menemukan perihal raja menjamu perasuah di meja santapan.

Undang-undang Hammurabi yang cukup purba itu misalnya mengenakan hukuman mati terhadap orang yang merasuah. Undang-undang Manu malah mengenakan hukuman bunuh sekeluarga ke atas raja yang terlibat dengan rasuah, manakala pegawai yang terbabit dengan tahi rasuah akan dibuang negeri manakala harta benda mereka akan disita.

Dalam karangan Syed Hussein ini lagi, almarhum menceritakan perihal seorang guru dari kepercayaan Jainisme bernama Somadeva yang pernah membuat sabda: “Bahawa wang sogok merupakan pintu masuk kepada semua jenis dosa. Bila raja seorang penipu, maka dia akan ditinggalkan rakyatnya dan tidak akan hidup lama.”

Dalam erti kata lain, menurut Somadeva, raja yang mesra rasuah adalah raja yang tiada daulat.

Selain agama lama di atas, sejak zaman berzaman lagi agama Hindu ikut mengutuk sogokan, kerakusan, dan perolehan harta secara haram. Jika orang Melayu moden serasa canggih dengan agama Islam berbanding agama mereka yang lampau, mereka harus ikut malu kerana agama Hindu ternyata mengutuk rasuah dan mereka yang terlibat.

Meskipun amalan rasuah di zaman Yunani kuno sangat bercendawan, pun, sistem nilai Yunani tetap mengutuk dan menolak rasuah. Bukannya diraikan seperti hari ini. Rasuah dilakukan senyap-senyap, yakni perasuah dan yang dirasuah tahu aibnya jenayah ini. Tidak seperti hari ini, perasuah dan yang dirasuah retis keseronokan selain diberi sorak puji serta boleh masuk tivi.

Rasuah di era Yunani mula dianggap serius hanya selepas beberapa skandal seperti kes Hakim Hostilius Tubulus. Syed Hussein Alatas dalam tulisannya menyatakan, “Rom bergoncang apabila berlaku skandal, misalnya skandal Hakim Hostilius Tubulus. Dia dikenakan hukuman pada tahun 142 SM kerana menjual keputusan penghakimannya bagi satu kes pembunuhan.”

Terdapat pelbagai kegilaan rasuah seperti dilakukan Gaius Verres (115-143 SM) yang memeras, menyogok, merompak, membunuh, merogol, meniduri isteri orang lain, melakukan khianat, menjarah karya seni, menjual jawatan, makan riba dan memalsukan wasiat orang yang sudah mati.

Sebagai nota, Julius Caesar, raja Rom yang tersohor kejam memerintah antara tahun 59 hingga 50 SM. Caesar merasuah Paulus dengan wang sebanyak 9,000,000 denarii untuk mendapatkan sokongan politik. Dia juga menaburkan wang dalam beberapa pemilihan. 

Kira-kiranya falsafah Caesar ialah cash is king. Gaya pemerintahan ala Caesar seperti kegemarannya menabur tunai serta mendanai pelbagai jenis hiburan buat rakyat untuk mempertingkatkan pengaruh dan popularitinya telah mengakibatkan rakyat semakin terbiasa menerima sogokan (dalam bentuk hiburan dan makanan). 

Lama kelamaan di Rom kemewahan dan rasuah mempengaruhi sebahagian besar kelas penguasa Romawi. Akibatnya, pemerasan ke atas rakyat meningkat. 

Pemerasan ini disifatkan oleh Syed Hussein sebagai yang paling berat dialami oleh rakyat. Dalam satu kes pada zaman pemerintahan Kaisar Constantine, para ibu dan ayah terpaksa menjual dan melacurkan anak-anak mereka untuk membayar cukai.

Sebarang usaha pemerintah budiman untuk mengubah gejala rasuah ini digagalkan oleh sistem. Sebagai contoh, Kaisar Pertinax (193 M) dibunuh kerana dia ingin membanteras salah laku tersebut.

Pun, penangan rasuah yang kian buruk mendorong tekad Theodosius untuk membanterasnya. Sebuah undang-undang untuk membanteras rasuah, iaitu dikenali sebagai Undang-undang Theodosius dikuatkuasakan pada tahun 313-33 M. 

Syed Hussein menyatakan antara hukuman yang terkandung dalam undang-undang ini ialah hukuman potong tangan ke atas para pegawai yang tamak dan tidak menghiraukan peringatan penting yang telah termaktub di dalamnya. Ini kerana pemerintah Rom sedar bahawa kesan rasuah ke atas negara antara lain ialah menyusutkan perbendaharaan negara.

Pada zaman kita, dapat dilihat bagaimana kesan rasuah telah mengakibatkan pendana dan pelabur melarikan diri ke negara lain, membiarkan Malaysia ibarat negara pariah di tangan kleptokrat.

Kita dapat memahami mengapa bangsa Cina kebanyakannya menolak rasuah (berbanding bangsa Melayu yang suka dan meraikan perasuah). Hal ini mungkin diperdebatkan, tetapi penerimaan majoriti pengundi Melayu dalam beberapa pilihan raya negeri terhadap rasuah memadai untuk menjadi hujah.

Pada era Cina Kuno, rasuah ditentang keras oleh para pendetanya. Malah menurut Syed Hussein terdapat ramai Maharaja China berusaha membanteras rasuah kerana simpati terhadap nasib rakyatnya. Maharaja Hsian Wen misalnya, dikatakan seorang maharaja yang serius menangani masalah rasuah.

Pada era raja Wang Mang, yang pemerintahannya ditandai dengan rasuah yang berleluasa, baginda menerima hukuman keras daripada rakyat. Mulanya Mang menaiki takhta dengan cara mengkhianat, merampas kuasa dan melakukan pembohongan. 

Dalam masa pemerintahannya Wang Mang terlalu banyak membazirkan masa menguruskan hal-hal yang remeh temeh berbanding menguruskan rasuah dan pemberontakan. Wang Mang akhirnya digulingkan dalam satu pemberontakan dan tubuhnya dikerat-kerat.

Sebetulnya, jika kita menyelongkar contoh-contoh lampau kita akan mendapati masyarakat lalu lebih jernih dan nekad menghapuskan jenayah rasuah. 

Jika ada kesempatan lain saya akan menyelongkar kebencian masyarakat purba terhadap rasuah. Memang aneh kalau kita yang hidup di zaman moden kehilangan paksi moral berbanding orang terdahulu.

Manusia zaman lalu menghukum mati perasuah dan kleptokrat. Mereka sama sekali tidak memberikan perasuah yang dianggap sebagai penjual peradaban ini sebarang peluang. Hukuman mati memang sesuai untuk pencinta rasuah.

Banyak contoh raja zaman lalu yang boleh diteladani apabila mereka menghukum perasuah dengan hukuman mati. Memang perasuah layak dihukum sedemikian, dan bukan untuk diampuni. – 14 Jun, 2022.     

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen