Ribut salji jejas usaha cari pesawat terhempas Iran


Waris penumpang dan anak kapal pesawat EP3704 Penerbangan Aseman menunggu maklumat baharu daripada pihak berkuasa yang setakat ini masih belum menemui bangkai pesawat. – Gambar AFP, 19 Februari, 2018.

RIBUT salji yang melanda kawasan pergunungan di Zagros, Iran menyebabkan usaha pencarian pesawat terhempas yang mengorbankan 66 penumpang terpaksa ditangguhkan.

Pasukan Palang Merah berkata sebanyak 45 pasukan dihantar ke kawasan Gunung Dena di barat daya Zagros tetapi sehingga kini tiada sebarang petanda lokasi bangkai pesawat terbabit ditemui.

“Kawasan pergunungan sukar dilalui dan agak mustahil untuk menggunakan helikopter kerana keadaan kabus tebal, salji dan hujan,” kata ketua bantuan dan penyelamat, Morteza Salimi.

Pesawat EP3704 Penerbangan Aseman dilaporkan hilang dari radar selepas 45 minit berlepas dari Tehran.

Penumpang di dalam pesawat itu termasuk seorang kanak-kanak dan enam anak kapal.

Insiden itu bencana ketiga yang menimpa Iran dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini selepas gempa bumi mengorbankan sekurang-kurangnya 620 orang di Kermanshah pada November lalu.

Selain itu, 30 anak kapal warga Iran dilaporkan hilang dalam kejadian pelanggaran kapal tangki minyak di luar pantai timur China, bulan lalu. – AFP, 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen