5 wanita terbunuh dalam serangan tembakan di gereja


Lima wanita ditembak mati dalam satu serangan radikal pengganas di gereja Ortodoks di wilayah North Caucasus di Dagestan, Moscow semalam. – Gambar fail AFP, 19 Februari, 2018.

LIMA wanita ditembak mati dalam satu serangan radikal pengganas di gereja Ortodoks di wilayah North Caucasus di Dagestan, semalam, dan kumpulan Islamic State mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah jemaah di gereja di bandar Kizlyar dalam kawasan wilayah kebanyakannya Islam, kata laporan media tempatan.

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan berkata penyerang menggunakan senapang memburu, dan empat wanita mati di tempat kejadian, sementara penyerang dapat “dihapuskan”.

Mangsa kelima meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah, kata jurucakap kementerian kesihatan, Zalina Mourtazalieva.

Dua anggota polis Rusia cedera dalam serangan itu.

Menurut laporan, penyerang berusia awal 20-an itu seorang rakyat tempatan.

Akhbar Russian RBK memetik paderi gereja itu sebagai berkata penyerang menembak ke arah jemaah selepas upacara keagamaan sebelah petang.

“Kami baru saja selesai upacara dan mula untuk keluar dari gereja. Seorang lelaki berjambang berlari ke arah gereja dan menjerit ‘Allahuakbar’ dan membunuh empat orang,” kata Father Pavel.

“Dia membawa senapang dan pisau,” katanya. – AFP, 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen