GOOGLE pada Ahad berkata ia “sangat gembira” untuk selesaikan, tanpa pengakuan bersalah, tuntutan mahkamah yang berhujah ia membayar gaji rendah dan memberi jawatan rendah kepada pekerja wanita.
Penyelesaian sebanyak AS$118 juta itu meliputi kira-kira 15,500 pekerja wanita yang telah bekerja untuk syarikat itu di California sejak September 2013, kata firma guaman Lieff Cabraser Heimann & Bernstein LLP dan Altshuler Berzon LLP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Syarikat itu juga bersetuju untuk pihak ketiga menganalisis amalan pengambilan dan pampasannya sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Dalam satu kenyataan kepada AFP, Google berkata “walaupun kami sangat percaya pada ekuiti dasar dan amalan kami, selepas hampir lima tahun litigasi, kedua-dua pihak bersetuju yang penyelesaian perkara tersebut, tanpa sebarang pengakuan atau penemuan, adalah demi kepentingan terbaik semua orang, dan kami amat berbesar hati untuk mencapai persetujuan ini.”
Pada 2017, beberapa bekas pekerja Google menyaman syarikat itu di mahkamah San Francisco, menuduhnya membayar kaum wanita kurang daripada kaum lelaki untuk jawatan yang setara dan memberikan wanita jawatan lebih rendah berbanding lelaki yang mempunyai pengalaman serupa.
Menurut salinan perjanjian yang dikeluarkan oleh firma undang-undang, “Google menafikan semua dakwaan dalam tuntutan mahkamah dan mengekalkan yang ia telah mematuhi sepenuhnya semua undang-undang dan peraturan yang berkenaan pada setiap masa.”
Seorang hakim masih perlu meluluskan perjanjian itu, kata dua firma guaman untuk plaintif.
Google sebelum ini bersetuju pada 2021 untuk membayar AS$3.8 juta kepada Jabatan Buruh Amerika Syarikat atas tuduhan mendiskriminasi wanita dan orang Asia. – AFP, 13 Jun, 2022.
Komen