Gabenor bank pusat Latvia ditahan pegawai anti rasuah


Media tempatan berkata pegawai anti-rasuah turut membuat serbuan di rumah gabenor itu dan juga di pejabatnya di Bank of Latvia. – Gambar EPA, 18 Februari, 2018.

PIHAK berkuasa anti-rasuah Latvia menahan gabenor bank pusat negara itu, namun masih belum terdapat “petunjuk merbahaya,” kepada sistem kewangan negara itu.

Menurut Baltic News Agency (BNS), Ilmars Rimsevices yang dilantik sebagai gabenor pada 2001, telah ditahan oleh pegawai Biro Pencegahan Rasuah (KNAB) semalam dan disoal selama tujuh jam sebelum dibawa ke lokasi lain.

Media tempatan berkata pegawai anti-rasuah turut membuat serbuan di rumah gabenor itu dan juga di pejabatnya di Bank of Latvia.

Perdana Menteri Latvia Maris Kucinskis mengesahkan penangkapan itu dengan berkata yang buat masa ini “tiada petunjuk merbahaya terhadap sistem kewangan Latvia.”

“Buat masa sekarang, sama ada saya atau mana-mana pegawai mempunyai sebarang alasan untuk mencampuri siasatan KNAB. KNAB sedang bekerja secara profesional,” kata Kucinskis kepada BNS.

“Bila KNAB merasakan penting untuk masyarakat tahu, mereka akan beritahu (butir siasatan itu),” tambahnya.

KNAB setakat ini enggan memberi sebarang komen.

Memandangkan Latvia sebahagian daripada Eropah, bermaksud yang Rimsevices juga merupakan salah seorang anggota European Central Bank (ECB) yang terdiri daripada 19 gabenor kawasan Eropah.

Sementara itu, kerajaan Latvia dijangka akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Dalam pada itu, Presiden Latvia Raimonds Vejonis berkata melalui Twitter-nya yang beliau akan berjumpa dengan Majlis Keselamatan Kebangsaan bagi membincangkan “situasi sektor perbankan.”

Bagaimanapun, Vejonis tidak mengumumkan bila tarikh perjumpaan itu akan diadakan. – AFP, 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen