PRESIDEN Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor yang turut berkuat kuasa serta-merta.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi yang dihadiri oleh presiden semua parti anggota PN.
Ini termasuk Lau, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden STAR Sabah Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.
Sementara itu Muhyiddin berkata mesyuarat itu juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya.– Bernama, 12 Jun, 2022.
Komen