Sedih namun pasrah gagal selamatkan ibu, kakak rentung


Ibu dan kakak Irwan ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Titingan, Tawau tengah malam tadi. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2022.

SEDIH namun pasrah. Itu yang dirasakan mangsa kebakaran Irwan Mapiasah apabila gagal menyelamatkan ibu dan kakaknya yang rentung kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama, Tawau tengah malam tadi. 

Irwan, 42, berkata ibunya Sadiah Jabar, 80 ditemukan dalam keadaan tertiarap di depan pintu utama manakala kakaknya Kamisah, 49 ditemukan di katil dalam sebuah bilik. 

“Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri bersama isteri serta tujuh anak berumur antara 5 hingga 15 tahun sementara ibu serta dua anak saudara dan kakak pula tinggal di sebelah rumah kami. 

“Saya ketika itu sedang bermain permainan video tiba-tiba lampu rumah berkelip-kelip. Saya tanya kepada isteri dan pada waktu sama adik yang berada di rumah sebelah menjerit meminta tolong. Saya tengok melalui tingkap api sudah marak,” katanya.

Terkejut dengan perkara itu, Irwan segera meminta isterinya mengejutkan anak mereka dan keluar rumah untuk menyelamatkan diri. 

“Saya terus berlari ke rumah ibu untuk menyelamatkannya. Saya dengar suara mereka minta tolong. Beberapa kali saya cuba meredah api untuk masuk ke rumah ibu tapi saya gagal. Kayu rumah jatuh, api pun kuat. Dua anak saudara saya berjaya keluar selamatkan diri,” katanya. 

Dalam pada itu, Irwan yang melecur di lengan kiri ketika cuba menyelamat ahli keluarganya tetap bersyukur kerana masih selamat.

“Bagaimanapun kami reda dengan kejadian ini serta menganggap ia adalah takdir dan ketentuan Ilahi,” katanya.

Dia memaklumkan jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3 selepas urusan tuntutan mayat selesai.

Insiden kira-kira 12.30 tengah malam itu menyaksikan tiga buah rumah musnah sepenuhnya manakala dua buah rumah lagi masing-masing terbakar 40 peratus dan 60 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan Rina Jainal melawat lokasi kebakaran mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan Parti Harapan Rakyat Sabah sedang meneliti bantuan untuk mereka yang terjejas.

Beliau berkata buat permulaan parti itu menyumbangkan RM1,000 bagi membantu meringankan beban keluarga yang terlibat. – Bernama, 12 Jun, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen