Sistem kad pengenalan atasi pekerja asing pindah sektor sesuka hati, kata menteri


Pengenalan sistem kad pengenalan mengikut sektor ini dapat memastikan tiada majikan menyalah guna pendaftaran pekerja. Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor di negara ini bagi mengatasi masalah pekerja asing yang dilaporkan berpindah ke sektor lain sewenang-wenangnya.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata permintaan tinggi di sektor perladangan terutamanya susulan kenaikan harga kelapa sawit ketika ini menyebabkan pemilik ladang sanggup membayar gaji yang lebih sehingga ada pekerja yang bertukar ke sektor itu.

“Ini menyebabkan ada pekerja yang lari dan dicuri antara sektor. Jadi kita sedang berusaha mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah hari ini.

Beliau berkata pengenalan sistem kad pengenalan mengikut sektor itu juga dapat memastikan tiada majikan menyalah guna pendaftaran pekerja.

“Satu lagi masalah saya lihat kalau ikut pembayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah maka ramai majikan walaupun dalam sektor lain tetapi mereka membawa masuk pekerja warga asing dengan saluran pertanian kerana lebih murah.

“Dengan memperkenalkan sistem kad mengikut sektor ini, kita dapat atasi perkara ini dan akan memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Jumaat lepas Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof dilaporkan berkata peningkatan harga minyak sawit dalam sektor perladangan telah menarik pekerja dari sektor lain dan memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor itu.

Dalam pada itu Saravanan berkata kerajaan yakin isu kelewatan kemasukan pekerja asing ke negara ini akan selesai pada penghujung bulan ini dan majikan diminta bersabar menunggu proses pegambilan tenaga kerja luar yang mengambil masa.

Menyentuh soal karnival kerjaya itu Saravanan berkata sebanyak 8,615 jawatan ditawarkan dan 374 individu telah ditemu duga setakat petang semalam.

“Daripada jumlah itu 53 pencari kerja berjaya dalam temu duga dan 140 orang berjaya mara ke pusingan kedua temu duga dengan 32 majikan,” katanya.– Bernama, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen