MAGHRIBI mengumumkan pada Sabtu pengharaman filem Inggeris mengenai puteri Nabi Muhammad SAW, yang umat Islam di beberapa negara mengecam sebagai menghina agama.
“The Lady of Heaven” tidak akan menerima lesen untuk ditayangkan di negara ini, kata Pusat Sinematografi Maghribi (CCM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Sabtu.
Keputusan CCM melarang filem arahan Eli King, daripada ditayangkan sama ada atas dasar komersial atau budaya di negara itu.
Drama itu didakwa sebagai filem pertama mengenai kehidupan puteri Nabi Muhammad Fatimah, dan kaitannya dengan kumpulan Isis pada abad ke-21 dan tokoh sejarah Islam.
Keputusan CCM dibuat beberapa jam selepas Majlis Tertinggi Ulama Maghribi, pihak berkuasa agama tertinggi kerajaan, mengutuk filem itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam kenyataan itu, mereka berkata filem berkenaan adalah “pemalsuan terang-terangan terhadap fakta sejarah Islam”.
Filem itu dikeluarkan di Britain pada 3 Jun tetapi selepas protes di luar pawagam, rangkaian pawagam kedua terbesar di dunia, Cineworld, membatalkan semua tayangan.
Mesir, Pakistan, Iran dan Iraq adalah antara negara yang mengecam filem itu sebagai menghina agama. – AFP, 12 Jun, 2022.
Komen