Bekas presiden Pakistan Pervez Musharraf tenat


Pervez Musharraf dimasukkan ke hospital sejak tiga minggu lepas akibat komplikasi penyakit yang dihidapinya. – Gambar EPA, 11 Jun, 2022.

BEKAS pemerintah tentera Pakistan, Pervez Musharraf, 78, yang sedang dirawat di hospital kini dalam keadaan tenat. 

Musharraf dimasukkan ke hospital sejak tiga minggu lepas akibat komplikasi penyakit yang dihidapinya, yang dikenal pasti sebagai amiloidosis, kata keluarga bekas presiden itu pada Jumaat.

“Keadaan beliau kini tenat kerana organ dalaman yang sudah tidak berfungsi. Doakan agar urusan beliau dipermudahkan,” ciap keluarganya menerusi akaun Twitter Musharraf.

Menurut keluarganya beliau tidak menggunakan alat bantuan pernafasan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan khabar angin di media sosial yang bekas presiden itu telah meninggal dunia.

Musharraf memperoleh kuasa politik dalam satu rampasan kuasa tentera pada 1999 dan berkhidmat sebagai presiden Pakistan dari 2001 hingga 2008.

Beliau ke Dubai pada Mac 2016 untuk mendapatkan rawatan perubatan dan berada di luar negara sejak itu. – Bernama, 11 Jun, 2022.    



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen