Badan Peguam gesa hukuman banduan akhir diringankan


Ravin Palanisamy

Presiden Badan Peguam Karen Cheah berkata pada masa ini terdapat 1,359 banduan yang sedang menunggu hukuman mati dan menggesa kerajaan meringankan hukuman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2022.

TINDAKAN Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu langkah ke arah yang betul tetapi Putrajaya perlu meringankan hukuman semua banduan akhir, kata Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 1,359 banduan yang sedang menunggu hukuman mati dan menggesa kerajaan meringankan hukuman mereka berdasarkan kes.

“Badan Peguam Malaysia menyeru kerajaan bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan bagi memastikan lebih 1,359 banduan disabitkan kesalahan yang menjadi banduan akhir juga terselamat daripada hukuman mati.

“Kami menyarankan agar semua hukuman mati ditukar kepada hukuman penjara, berkadaran dengan berat kesalahan yang dilakukan, dan mengambil kira faktor mitigasi dan keadaan tersendiri yang menyelubungi setiap kes.

“Barulah hukuman yang dikenakan adalah adil dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Cheah itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan semalam ia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori, memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hukuman mati akan kekal.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahagian “mandatori” akan dibuang dan hakim tidak lagi terikat dengan perkataan itu, menyebabkan mereka tiada pilihan selain mengenakan hukuman mati ke atas penjenayah dalam kes tertentu, seperti pengedaran dadah.

Cheah bersetuju tindakan kerajaan adalah satu langkah ke arah yang betul tetapi beliau juga menggesa agar hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya di negara ini.

“Keputusan Kabinet jelas betul dan satu langkah ke arah yang betul, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.

“Hukuman mati tidak mempunyai tempat dalam masyarakat yang menghargai kehidupan manusia, keadilan, dan belas ihsan, dan juga tidak menjamin masyarakat yang bertamadun dan selamat, tetapi menghakis kemanusiaan kita.

“Dalam masyarakat yang maju, tumpuan kita harus diberikan kepada pemulihan dan pembaikan, dan sangat sedikit kesan yang dicapai dengan hukuman mati kecuali untuk memenuhi keperluan balas dendam,” katanya.

Cheah menambah yang Badan Peguam Malaysia berpegang teguh pada pandangan bahawa kehidupan adalah suci, dan setiap orang mempunyai hak untuk hidup seperti yang termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Hak untuk hidup adalah hak asas yang mesti mutlak, tidak boleh diketepikan, dan universal, tanpa mengira jenayah dilakukan oleh orang yang dituduh.

“Ketika kita maju dalam pembangunan demokrasi di negara kita, kita mesti beralih daripada membunuh orang atas nama ‘keadilan’,” tambah Cheah.

Beliau juga berkata Badan Peguam sentiasa memberikan bantuan kepada kerajaan bagi pembaharuan perundangan yang diperlukan untuk dibuat dalam rancangan jangka pendek, serta jangka panjang. – 11 Jun, 2022.    



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen