4 tentera Thai cedera letupan bom di Narathiwat


Gambar lama menunjukkan seorang tentera Thailand memberi penghormatan terakhir kepada mendiang sahabat seangkatannya di Narathiwat. Hari ini, empat anggota tentera cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan tempur yang dinaiki mereka terbalik selepas terkena letupan bom buatan sendiri di Narathiwat. – Gambar AFP, 18 Februari, 2018.

EMPAT anggota tentera cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan tempur yang dinaiki mereka terbalik selepas terkena letupan bom buatan sendiri di sebuah wilayah bergolak di selatan Thailand.

Kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan) tadi di daerah Chana, Narathiwat.

Penolong Ketua Polis Daerah Chana Kapten Adisong Promnu telah mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa anggota tentera dari unit jurutera itu sedang menghantar bekalan makanan untuk rakan mereka yang membina jalan.

Letupan itu dipercayai berpunca daripada sebutir bom buatan sendiri seberat kira-kira 25 kilogram dan diaktifkan mengguna wayar. – Bernama, 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen