Harap PM tak lantik penyokong jadi pesuruhjaya Suhakam, kata Santiago


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Charles Santiago hari ini bertanya adakah kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam akan diisi oleh penyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.

ADAKAH pelantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sengaja dilewatkan bagi membolehkan kekosongan jawatan itu diisi oleh penyokong perdana menteri, soal Ahli Parlimen Charles Santiago.

“Saya cuma berharap kelewatan ini bukan sebab kerajaan mahu melantik penyokongnya untuk menganggotai Suhakam,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau dalam pada itu menempelak pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Kamarul Zaman Yusoff, kerana mengheret Pakatan Harapan (PH) berhubung isu ini.

Santiago mengulas kenyataan Kamarul hari ini, bahawa kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam perlu dibuat mengikut prosedur tertentu seperti yang diperuntukkan dalam Akta Suhakam 1999, dan lantikan hendaklah dibuat Yang di-Pertuan Agong atas syor perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Kamarul berkata kerajaan sebelum ini mengambil masa lebih lama, iaitu dua bulan untuk melantik pesuruhjaya Suhakam baharu selepas kosong sejak 26 April 2019.

Beberapa ahli politik termasuk Santiago semalam mengkritik kerajaan kerana lewat melantik pesuruhjaya baharu agensi hak asasi manusia itu. 

Mengulas lanjut kenyataan Kamarul awal hari ini, Santiago berkata kerajaan Ismail Sabri tiada kesungguhan untuk memperkuatkan demokrasi di Malaysia.

“Tiada iltizam politik. Kerajaan terus mengekang perbezaan pendapat, menggunakan undang-undang menyasarkan aktivis dan ahli politik pembangkang,” katanya.

Menafikan dakwaan bahawa perdana menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi, Kamarul dalam kenyataannya berkata banyak yang dilakukan Ismail Sabri bagi memperbaiki kedudukan demokrasi di negara ini.

Kenyataan Kamarul itu bagaimanapun ditempelak Santiago.

“Ya, memang betul perdana menteri buat macam-macam, termasuk pandai berkata-kata seperti media ‘kekal’ bebas.”

“Tapi media di negara ini bukan bebas pun,” ujarnya.

Ahli Parlimen DAP itu memberi contoh tindakan yang dikenakan terhadap agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang mendedahkan salah guna kuasa Imigresen pada 2020, semasa Ismail Sabri menteri pertahanan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada Julai 2020, wartawan Al Jazeera di Malaysia disiasat pihak berkuasa berhubung dokumentari berkenaan layanan kepada pendatang asing tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

Pihak berkuasa berkata dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ sepanjang 25 minit itu tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

Ismail Sabri Yaakob selaku menteri pertahanan ketika itu, membidas Al Jazeera sebagai tidak beretika dan berbohong, serta menuntut agensi berita itu memohon maaf kerana menyiarkan laporan tidak tepat. – 10 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen