PAS tahu rancangan khemah besar Bersatu, kata Hadi Awang


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu tahu rancangan presiden Bersatu menggerakkan khemah besar dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.

PAS tahu mengenai rancangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk mengerakkan khemah besar dengan parti pembangkang yang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin tidak menyembunyikan rancangan itu daripada PAS dan beliau memaklumkan usaha ke arah itu dalam satu mesyuarat Perikatan Nasional (PN), katanya.

Bagaimanapun PAS katanya menolak rancangan itu, yang diatur untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Kami tak sembunyi-sembunyi. Pihak yang ada hubungan dengan kita, kita lapor (kepada mesyuarat PN). Yang berhubung dengan PAS pun kita lapor. Kita buat keputusan bersama.

“Tapi kita menolak rancangan khemah besar ini dan Muhyiddin terima apa pandangan kita,” katanya kepada media selepas kuliah mingguannya di Marang, hari ini.

Bagaimanapun Hadi yang diminta penjelasan oleh wartawan tidak mengingati dengan tepat bila mesyuarat tersebut berlangsung.

Minggu lepas Muhyiddin mengakui mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan wakil beberapa parti politik lain bagi mengerakkan kerjasama dalam PRU15.

Ia susulan pendedahan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri semula.

Sebelum ini, Hadi berkata PAS tidak ingin menyertai gabungan pembangkang dalam PRU15 kerana tidak ingin berkelahi dengan parti terlibat.

Beliau menyifatkan parti politik dalam khemah besar seperti tikus dan kucing yang bercakaran satu sama lain dan PAS enggan terlibat dalam masalah tersebut.

Mengulas lanjut, Hadi berkata PAS tidak bimbang risiko kalah pilihan raya jika hanya terus bersama dengan PN dan menolak gabungan khemah besar dengan parti pembangkang lain.

Katanya, PAS melakukan kajian dalam semua pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung baru-baru ini dan yakin pengundi tidak lagi mahu mengundi Pakatan Harapan (PH).

“Kita pernah kalah, selalu kalah dan menang sekali. Yang susahnya orang selalu menang dan kalah sikit.

“PAS juga ada melakukan post mortem dalam PRN Sabah, Melaka dan Johor. Semua PRN ini kita dapati mereka yang undi PH dalam PRU lalu tidak lagi mengundi PH,” katanya.

Pada masa sama ahli Parlimen Marang itu menolak dakwaan pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang mendakwa PAS gila kuasa kerana menolak PRU15 diadakan segera.

Beliau menyifatkan yang gila kuasa sebenarnya Umno kerana parti itu yang mendesak PRU15 diadakan segera.

“Biasanya orang yang nak cepat itu gila kuasa. Orang yang nak tangguh pilihan raya ini tak gila kuasa sebab kita fikir panjang kesesuaian PRU15 diadakan,” katanya. – 10 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen