Revolusi sukan: Antara harga dan nilai 


IA datang lagi! Musim “pilihan raya sukan” sememangnya merupakan subjek yang amat dinantikan oleh semua penggemar sukan tanah air.

Tidak kira apa jua jenis sukan, ia pastinya akan menarik minat peminat sukan untuk melihat sukan yang mereka minati dipimpin oleh golongan yang mempunyai kredibiliti, kualiti dan keghairahan yang tinggi.

Penulis mengakui, pantai mana yang tidak pernah dibedil ombak, laut mana yang tidak bergelora. Penulis juga realistik betapa penulis tidak boleh menuntut kesempurnaan kerana sempurna itu hanya milik Tuhan.

Kancah sukan tempatan juga begitu, dalam tempoh perjalanan setiap persatuan yang menjadi induk kepada sesebuah pentadbiran sukan, ia pasti akan berhadapan dengan masalah.

Kendati pun begitu, sekiranya isu yang berlaku ini adalah isu yang berulang, ia pastinya mengundang rasa jelik bukan sahaja bagi peminat sukan, malah dalam kalangan pemegang taruh sukan terbabit.

Bagi pandangan penulis secara peribadi, apabila sesuatu yang asas itu seringkali terjejas, maka ia menjadi tidak berasas. Inilah misteri terbesar yang tidak pernah kita mendapat penyelesaiannya.

Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, malah pandangan ini ditulis dengan penuh rasa suci hati tanpa sebarang elemen prejudis dan pesimis, penulis melihat isu ini berlaku apabila nilai profesional itu tidak difahami sepenuhnya.

Profesional bukan sekadar memakai kot dan tali leher, bukan sekadar sibuk berbicara di hadapan media, bukan juga sekadar bekerja sepenuh masa, ia lebih dari itu.

Mentaliti perlu profesional, dalam konteks ini, melihat sukan sebagai tanggungjawab, bukan hanya sekadar minat.

Jiwa perlu profesional, dalam konteks ini, mengangkat sukan sebagai amanah, bukan sekadar tempat mengejar populariti.

Hubungan perlu profesional, dalam konteks ini, menjunjung terma-terma perundangan di dalam perlembagaan, bukan hanya berpandukan emosi dan kenang budi.

Landskap sukan negara sudah berubah. Proses pendewasaan pengurusan sukan secara profesional juga perlu berubah. Hari ini, menguruskan sebuah persatuan sukan seperti menguruskan sebuah syarikat korporat.

Atlet, jurulatih dan pegawai adalah pekerja, hasil prestasi adalah produk. Dua elemen ini adalah teras untuk persatuan sukan mencari dana sama ada daripada jualan perniagaan dan juga tajaan.

Pengurusan harus bersistem, ada perancangan kewangan yang realistik, ada pasukan pemasaran yang efektif dan pengurusan manusia yang sistematik. Inilah ramuan asas dalam sesebuah pengurusan syarikat korporat.

Sebab itulah, apabila ada pihak yang tidak mempunyai kualiti mahupun integriti dalam menguruskan persatuan sukan, ia hanya akan menzalimi para atlet, jurulatih dan pegawai.

Apabila ada kisah-kisah yang berkisar tentang luahan dan keluhan para atlet, jurulatih dan pegawai berhubung tiadanya bajet yang cukup dalam persiapan atlet, penulis agak terkejut kerana memikirkan bagaimana sesebuah persatuan sukan diuruskan.

Adakah persatuan gagal menguruskan dana dengan baik? Atau secara pemikiran klisenya, adakah terdapat ketirisan dalam kewangan persatuan? Atau kepimpinan yang dilantik tidak tahu langsung selok belok pengurusan persatuan sukan?

Sekiranya ketiga-tiga soalan ini mendapat jawapan “ya”, ini bermakna sebuah “revolusi” perlu dibuat bagi menyelamatkan persatuan sukan.

Hakikatnya, situasi ini amat menakutkan, tetapi penulis lebih merasakan ia sesuatu yang amat menyedihkan. Apabila sukan dijadikan medium “dagangan”, dan integriti perwakilan dijadikan “bahan komoditi” yang boleh dijual dagang, akhirnya sukan akan mati. Pegawai hilang semangat, jurulatih hilang motivasi dan yang paling kejam, atlet dibunuh harapan dan masa depannya.

Secara kebetulan, “Pilihan Raya Kesatuan Olahraga Malaysia” akan berlangsung pada 12 Jun 2022 ini. Ketika musim kempen ini, kedengaran banyak dakwaan terhadap ketelusan jawatankuasa pemilihan yang diterajui oleh kepimpinan semasa. Sekiranya perkara ini benar, ia sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian segera, bukan sahaja oleh pihak-pihak yang berautoriti, tetapi juga pihak-pihak media bagi menyebarkan kecaknaan masyarakat.

Penulis sentiasa percaya kepada kuasa yang ada pada media, bagi membentuk sebuah pemikiran dan menentukan sesebuah tindakan.

Pilihan raya KOM yang akan berlangsung ini akan menjadi sebuah manifestasi samada wujudnya iltizam yang tinggi dalam kalangan perwakilan untuk melakukan “revolusi” bagi memperkasakan
 semula fungsi dan peranan KOM.

Mengapa penulis menggunakan frasa “memperkasakan semula”? Bagi peminat tegar sukan olahraga, pastinya ia bukan soalan yang sukar.

Hakikatnya, inilah gambaran realiti yang masih bersisa dalam kancah sukan Malaysia. Revolusi Sukan adalajh blueprint yang harus ada di setiap minda dan sanubari pemimpin-pemimpin sukan. 

Buat para perwakilan yang bakal terlibat dalam “Pilihan Raya Sukan”, berjuanglah dengan hati yang ikhlas demi sukan negara. Penulis percaya kepada ayat ini:

“They might able to pay you, but they can never buy your value”

Antara harga dan nilai, hati kalian pilih apa? – 9 Jun, 2022.


* Azzairi Rosle, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen