Pengundi Johor saman SPR, kerajaan, dakwa dihalang mengundi


SEORANG pengundi Johor memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia kerana menghalangnya daripada mengundi pada pilihan raya negeri Johor, atas alasan Covid-19, kata Bersih 2.0.

Gabungan pemantau pilihan raya itu berkata pengundi kali pertama di kerusi DUN Skudai itu mendakwa dilarang mengundi pada pilihan raya 12 Mac walaupun keputusan ujian Covid-19 negatif.

“Beliau telah mengambil langkah yang perlu seperti menjalankan ujian kendiri sebelum pergi ke pusat mengundi tetapi dihalang oleh petugas SPR walaupun keputusan ujian negatif,” menurut kenyataan jawatankuasa pemandu Bersih.

Bersih berkata ia membantu pengundi berkenaan dalam samannya, dan pengundi terbabit diwakili oleh firma guaman AmerBon.

Saman yang difailkan pada 8 Jun lalu, adalah berdasarkan alasan bahawa keputusan dan tindakan SPR tidak rasional dan menyalahi undang-undang, hak pengundi untuk mengundi dilindungi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan; Akta Pilihan Raya 1958 dan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981; dan bahawa undang-undang pilihan raya ini tidak memberi SPR sebarang kuasa untuk menafikan hak pengundi untuk mengundi atas alasan penyakit berjangkit semasa masih dalam tempoh kuarantin.

Undang-undang pilihan raya juga tidak memperuntukkan keperluan bahawa pengundi mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai kesihatan daerah sebelum membuang undi, dan bahawa SPR telah secara salah menyerahkan kuasanya kepada pegawai kesihatan daerah.

Prosedur operasi standard Covid-19 untuk pilihan raya negeri pada masa itu menetapkan bahawa Kementerian Kesihatan telah memberikan kata putus kepada SPR mengenai pengendalian pilihan raya itu.

Bagaimanapun, saman itu akan berhujah bahawa kata putus masih ada pada SPR bahawa hak pengundi untuk mengundi tidak terjejas.

“SPR perlu memastikan pilihan raya itu boleh disertai oleh semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih.

“Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh SPR bagi memastikan proses pengundian berlaku sekiranya SPR dan kerajaan Malaysia sanggup turun padang dan berdialog dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan langkah yang lebih proaktif dalam menjalankan pilihan raya khususnya dalam tempoh wabak Covid-19,” kata Bersih. – 9 Jun, 2022.


//


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen