Perkahwinan bukan penyelesaian masalah sosial remaja terlanjur


Diyana Ibrahim

NANI (bukan nama sebenar) hanya berusia 18 tahun apabila dapat tahu dia mengandung selepas terlanjur dengan bekas teman lelakinya yang sebaya.

Nani awalnya tidak tahu dia mengandung biarpun sedar ada perubahan pada badannya dan meneruskan hidup seperti biasa, malah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengetahui dirinya sedang mengandung.

Dia cuma tahu keadaan dirinya selepas dinasihatkan oleh rakan berjumpa dengan doktor pada penghujung April.

“Memang pada waktu itu saya sangat takut, panik, tak tahu bagaimana nak berdepan dengan keluarga.

“Tapi kawan minta saya balik rumah dulu tenangkan diri dan kemudian baru beritahu mak saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nani kemudian dimasukkan ke rumah pusat bimbingan remaja Raudhah Sakeenah Kelantan (RSK) pada Mei lepas. Dia mengaku hidupnya kini lebih tenang.

Nani tidak menolak latar belakang keluarga yang berpecah-belah kerana ibu bapanya bercerai antara punca dia terjebak dalam masalah sosial.

Nani, anak keempat dari enam adik-beradik, bukan berasal dari keluarga senang. Ibunya kerani; ayahnya bekerja sendiri dan telah berkahwin lain

Selepas mereka bercerai, dia tinggal bersama ibu dan kadang-kala duduk dengan datuknya.

“Sehingga kini ayah tidak tahu keadaan saya,” katanya, yang sedang sarat mengandung enam bulan.

Nani hanya berusia 18 tahun apabila dapat tahu dia mengandung selepas terlanjur dengan bekas teman lelakinya yang sebaya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Jun, 2022.

Nani lega tidak menurut kata keluarga untuk berkahwin dengan bekas teman lelakinya.

“Memang pada awalnya mak saya mahu saya berkahwin dengan bekas teman lelaki tapi saya tidak mahu,” katanya.

Ditanya perancangan hidupnya selepas ini, Nani yang sedang menunggu keputusan SPM mahu fokus untuk melahirnya anaknya dulu dan kemudian memulihkan dirinya.

“Saya tidak fikir apa- apa lagi. Saya mahu fokus untuk pulihkan diri saya di sini. Tunggu untuk saya lahirkan anak saya. Tapi mungkin saya tidak sambung belajar lagi, akan bekerja dulu jaga anak. Kalau ada rezeki baru saya sambung belajar,” katanya.

Perkahwinan bukan penyelesaian

Menurut ahli Lembaga RSK, Profesor Dr Madya Dasmawati Mohamad, keadaan Nani tidak jauh berbeza dengan pelatih lain yang menghuni rumah itu bagi pemulihan semula akhlak selepas terjebak dalam masalah sosial.

Rumah bimbingan itu ditubuhkan sejak 2014 dan beroperasi bawah badan masyarakat Ikram Malaysia.

Dasmawati yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia berkata RSK ditubuhkan bagi memenuhi keperluan mendesak remaja mendapat bimbingan di Kelantan.

Ahli Lembaga Raudhah Sakeenah Kelantan, Profesor Dr Madya Dasmawati Mohamad ketika ditemu bual The Malaysian Insight. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Jun, 2022.

“Kalau di Kelantan pusat bimbingan macam RSK ini tidak ada sedangkan kes gejala sosial di negeri pantai timur ini tinggi. Kalau ada pun rumah perlindungan ia termasuk dengan kes penderaan wanita dan kanak-kanak… jadi ia tidak fokus, kerana itu RSK ditubuhkan.

“Sekarang ini barulah kita dengar ada lagi pusat yang matlamatnya sama membimbing remaja bawah kerajaan negeri,” katanya.

Jelas Dasmawati, kebanyakan pelatih RSK terjebak dengan gelaja sosial, mengandung anak luar nikah kerana sifat mereka yang rapuh, mudah terpengaruh dengan pujuk rayu dan janji manis teman lelaki.

Isu gejala sosial turut berkait dengan latar belakang remaja dari keluarga berpecah-belah seperti Nani.

Katanya, kebanyakan remaja ini kurang perhatian, ibu bapanya bercerai atau ayah berkahwin dua.

“Masalah sosial ini berpunca dari rumah,” katanya.

Menurut Dasmawati, pihaknya cuba mengubah perspektif tentang remaja hamil luar nikah terutama di Pantai Timur apabila perkahwinan dianggap penyelesaian terbaik untuk menutup malu keluarga.

“Mereka  tidak dikahwinkan, sebab bagi kami kahwin bukan solusi terakhir. Apa yang perlu dibuat ialah betulkan diri mereka dulu.

 “Perkahwinan bukan jalan penyelesaian, sebab itu di rumah ini kita bimbing mereka. Kita kena tunjuk ke mana mereka pergi, hala tuju dalam hidup, jadi selepas ini tidaklah mereka terus terjebak dan berulang kali kedua,” katanya.

Di Raudhah Sakeenah Kelantan, pelatih diasuh semula termasuk dalam bidang agama seperti mengaji dan solat selain menjalani rawatan kaunseling untuk menangani trauma.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Jun, 2022.

RSK kini mempunyai enam pelatih dan boleh memuatkan sehingga 20 pelatih. Mereka yang berumur antara 16 hingga 25 tahun diletakkan dalam pemulihan selama enam bulan.

Di RSK, mereka diasuh semula termasuk dalam bidang agama seperti mengaji dan solat selain menjalani rawatan kaunseling untuk menangani trauma.

Dasmawati yakin RSK dapat memberi peluang kedua untuk mereka membina hidup baru dan kembali ke pangkal jalan.

“Selepas tamat tempoh mereka di sini memang kira kita di luar jangkauan mereka. Tapi hubungan bekas pelatih itu masih ada terutama dengan warden.

“Mereka menjalani kehidupan biasa, ada berkahwin dan ada yang hantar kad kahwin jemput kita. Malah ada bekas pelatih yang mahu berkhidmat sebagai warden di sini.

“Kita juga ada pelatih dengan sokongan keluarga dapat sambung belajar ke Syria,” katanya. – 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen