PERKAHWINAN bawah umur masih senang diluluskan oleh pihak berkuasa syariah di Kelantan sehingga menimbulkan pelbagai masalah yang berbangkit, kata sayap Wanita Amanah negeri.
Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan Dr Hafidzah Mustakim berkata mengikut pengalamannya menangani kes perkahwinan bawah umur, kebanyakan kes diluluskan kerana remaja perempuan terlibat terlanjur hamil dan perkahwinan dilihat jalan penyelesaian yang mudah.
Beliau juga berkata perkahwinan bawah umur diluluskan tanpa pasangan terlibat menjalani kaunseling dan bimbingan.
“Saat ini saya masih sangsi sistem kita berjaya… pengalaman saya nampaknya perkahwinan bawah umur masih mudah dilaksanakan tanpa prosedur yang sepatutnya dijalankan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dr Hafidzah berkongsi pengalaman pihaknya di Unit Khidmat Awan berhadapan kes seorang pelajar berusia 16 tahun yang baru seminggu melangsungkan perkahwinan.
Remaja itu hamil lapan bulan dan berkahwin dengan pasangannya yang berumur awal 20 dan tidak bekerja.
“Kos perubatan pula perlu ditanggung oleh ibu dan ayah yang juga sememangnya tidak mampu kerana mereka keluarga susah,” katanya.

Selain mengandung, kemiskinan juga katanya antara punca kes perkahwinan bawah umur seperti yang pernah berlaku di Gua Musang melibatkan budak perempuan 11 tahun yang dikahwinkan dengan lelaki berumur 40 tahun pada 2018.
Jelas Dr Hafidzah, perkahwinan bawah umur ini jadi masalah serius dan jalan keluarnya sukar kerana tiada sokongan daripada kerajaan negeri mahupun pusat.
Kelantan adalah antara negeri yang menolak untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan, seperti yang disarankan oleh mesyuarat menteri besar dan ketua menteri pada Oktober 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkahwinan bawah umur tidak sepatutnya diharamkan kerana ia dibenarkan dalam agama.
Antara 2001 hingga 2017, sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur diluluskan di Kelantan. Kelantan juga negeri meluluskan paling banyak perkahwinan bawah umur pada 2018 iaitu sebanyak 135 kes.
Dr Hafidzah berkata pihaknya kesal kerana tiada perkembangan positif mahu menangani isu itu di Kelantan biarpun timbalan menteri hal ehwal kebajikan wanita dan kanak-kanak juga pemimpin dari negeri itu iaitu Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.
Jelas beliau, dalam soal perkahwinan bawah umur, remaja lelaki juga perlu diberi perhatian sama seperti remaja perempuan kerana potensi masa depan mereka melalui pendidikan.
Namun perkahwinan bawah umur sebelum mereka benar-benar bersedia akan merencatkan potensi itu dan menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran ganas yang tidak berkesudahan.
Dalam pada itu, Dr Hafidzah berkata pihaknya akan terus memperjuangkan isu perkahwinan bawah umur, termasuk dengan kerjasama beberapa badan masyarakat sebagai kumpulan pendesak.
“Kita sangat konsisten mendesak kerajaan negeri mengubah polisi awamnya menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun,” katanya. – 9 Jun, 2022.
Komen