Kerajaan masih kaji semua sistem percukaian termasuk GST, kata menteri


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan masih mengkaji GST sekiranya ia wajar dilaksanakan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

KERAJAAN masih mengkaji semua sistem percukaian termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika ia wajar dilaksanakan semula, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata sebanyak 175 negara memperkenalkan GST, kerana salah satu sebab ialah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kerana tanpa GST maka hasil agak rendah.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Kelab Media Putrajaya di Putrajaya hari ini, Tengku Zafrul berkata proses melaksanakan semula GST mengambil masa yang lama, kerana undang-undang GST sebelum ini telah dimansuhkan.

“Kalau kajian menunjukkan GST faedah adalah jelas, kita akan bawa ke Kabinet. Keputusan muktamad bukan pada kerajaan tetapi Parlimen,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pelaksanaan semula GST paling cepat adalah lebih kurang sembilan bulan selepas ia diluluskan oleh Parlimen.

GST pada kadar enam peratus telah diperkenalkan pada 2015, sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan keputusan pemansuhan GST itu adalah keputusan kerajaan ketika itu.

Beliau berkata kajian sekarang adalah di peringkat libat urus, kerana salah satu isu adalah sama ada kadar 3-4 peratus atau 7-8 peratus, selain melihat alternatif untuk memperbaiki Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, kerana ia mempunyai ‘inefficient’ yang menyebabkan banyak negara beralih kepada sistem GST.

Ditanya kadar GST yang bersesuaian, Tengku Zafrul berkata apa jua kadarnya, kutipan itu mestilah lebih tinggi daripada apa yang didapati hari ini.

Katanya ada negara yang mengenakan kadar yang tinggi kerana membuat pengecualian yang banyak, contohnya Arab Saudi yang mengenakan 15 peratus kerana hasil pendapatan tinggi dengan harga minyak.

“Kena ada kajian untuk kadar yang adil untuk kutip hasil untuk pembangunan negara, pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dan peniaga,” katanya. – Bernama, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen